Archive for September, 2008

Jangan Tinggal Daku…Ramadan

Syawal semakin hampir menjelang, Ramadan pula semakin meninggalkan kita. Pejam celik, tinggal 2 malam sahaja lagi. Jadi apakah perasaan yang bermain pada fikiran kita? Sedih atau gembiranya kita dengan ketibaan Eid Fitri? 

Itulah tajuk yang saya kupaskan semasa kuliah Subuh saya pagi tadi di Masjid Darul Ghufran, Tampines. Alhamdulillah, jemaah sungguh ramai. Bagi muslimin shj saya rasa lebih daripada 10 saf. Masjid Darul Ghufran memang terkenal dengan aktiviti dakwahnya yang memang sentiasa dibanjiri oleh para jemaah yang dahagakan simbahan rohani pada diri mereka. 

Ini berkemungkinan daripada kepadatan penduduk Islam di Tampines, Simei dan juga sekitarannya selain daripada kegigihan teman2 saya di masjid ini yang tidak pernah lelah dalam memikirkan sajian yang menarik bagi kemanfaatan jemaah mereka.  Oklah, ini puji Ghufran lebih2 nanti, dorang ingat nak suruh jemput lagi pulak : ) 

Secara ringkasnya, intipati kuliah saya tadi adalah seperti berikut:

1. Ramadan tinggal 2 malam sahaja lagi!

2. Tanya diri kita, apakah prestasi Ramadan kita pada tahun ini. Jika 1 paling lemah, 10 paling cemerlang, berapakah markah kita?  

3. Adakah kita puas hati? Gembira atau sedih? Boleh ke kita gembira? Tak salah ke? 

- Tak salah gembira, jika kegembiraan kita kerana berjaya menyempurnakan perintah Allah. Ini tidak mengambil kira sama ada amalan kita diterima atau tidak oleh Allah.  

- Nabi pernah bersabda: ”Sesiapa yang merasa gembira apabila ia melakukan amal baik dan merasa buruk dengan perlakuan dosanya, itulah ciri Mukmin sejati “

4. Bagaimana pula bagi mereka yang sedih? 

- Bagi mukmin yang hakiki, berlalu Ramadan bermakna berlalu juga keistimewaan bulan ini. 

- Ini belum ditambah dengan perkiraan sama ada kita berpeluang dapat bertemu lagi atau tidak dengan Ramadan pada tahun akan datang. 

- Banyak keistimewaan bulan Ramadan yang tidak ada pada bulan2 yang lain seperti:

a. Puasa bulan Ramadan yang disertai dengan ganjaran keampunan dosa2 kecil.

b. Kenikmatan solat Terawih beramai2 dengan umat Islam atau keluarga.

b. Malam Lailatul Qadar yang lebih baik dari 1000 bulan! 

c. Ganjaran ibadah yang berlipat kali ganda. 

5. Amalan Eid Fitri yang baik dilakukan antaranya:

a. Memperbanyakkan Takbir

- Tunjukkanlah kegembiraan kita menyambut Eid dengan cara bertakbir, bukan dengan berhibur. 

- Takbir mula dibaca selepas matahari terbenam pada Ramadan yang terakhir, berakhir selepas mula melakukan solat Eid Fitri. 

- Banyakkanlah bertakbir, termasuk ketika dalam perjalanan pergi ke masjid bagi menunaikan solat Eid.  

b. Bersolat Hari Raya (Eid)

- Ramai orang pergi solat hari Raya, tetapi tidak solat Fardu? 

- Persepsi bahawa solat hari Raya hanya boleh dilakukan di masjid sahaja? 

- Solat hari raya boleh juga dilakukan secara individu atau sendirian dengan tanpa khutbah (tidak wajib seperti mana solat Jumaat).  Jadi makcik2 atau kakak2 yang sibuk anyam ketupat atau masak nasi minyak, bolehlah solat di rumah jika tidak dapat ikut suami yer! 

c. Menukar jalan ke tempat solat (Pergi dan balik) 

- Ia berdasarkan hadith dari Jabir r.a yang menyebut bahawa Nabi SAW biasanya menukar atau berbeza jalan pergi dan pulang apabila di hari raya” 

- Tujuannya supaya kita dapat bertemu dengan lebih ramai manusia, tetapi kalau dah dekat sampai rumah baru teringat nak tukar jalan lain, tak payah patah balik : ) 

d. Mengucapkan selamat dan mendoakan antara satu sama lain.

- Sebaiknya kita lafazkan “Taqabbalahhu minna wa minkum” ertinya : Semoga Allah menerima amalan ( amalan dan ibadat di Ramadhan) kami dan kamu”.

e. Berpuasa Enam dalam bulan Syawal. 

- Berdasarkan hadith: ‘Sesiapa yang berpuasa bulan Ramadan dan diikuti dengan enam hari pada bulan Syawal, maka seolah-olah dia berpuasa seperti selama setahun’. 

- Para ulama ada yang menafsirkan maksud seolah2 setahun berpuasa disebabkan terdapat ayat Quran yang menyatakan ganjaran kebajikan digandakan 10 kali. Bermakna: 30 hari Ramadan = 300 hari, 6 hari Syawal = 60 hari. Jumlah 360 hari = 1 tahun! 

- Puasa 6 ni boleh dimulakan hanya daripada 2 Syawal. Jangan buat 1 Syawal pulak sebab kita diharamkan puasa pada hari raya. Boleh dilakukan selama enam hari berturut-turut daripada 2 Syawal – 7 Syawal atau secara beransur-ansur.

-  Tetapi bagi sesiapa yang masih ada puasa yang tertinggal dalam bulan Ramadan yang belum diganti, qadha dahululah puasanya yer. 

- Walau sebesar mana pahala puasa sunnat, tetapi terbanding dengan ganjaran yang diberi oleh Allah pada ibadah yang wajib seperti qadha puasa. Qadha puasa adalah ibadah yang wajib. 

- Ini berdasarkan hadith: ‘Puasa yang paling afdhal (baik) sesudah Ramadan ialah puasa pada bulan Muharram!’

- Lihat sahaja, ganjaran pahala puasa di bulan Ramadan, diampunkan dosa-dosa yang yang telah lalu! 

f. Ziarah ke rumah-rumah (Jalan raya)

- Digalakkan bagi merapatkan hubungan silaturrahim. 

- Jangan dilupakan pula, ziarah kaum kerabat dan juga keluarga terdekat seperti ibu bapa. Itu dikira ihsan pada ibu bapa kerana gembirakan hati mereka, dapat pahala juga! 

- Dalam masa sibu berziarah, jangan dilupakan pula ibadah solat kita. Ziarah2 juga, solat jangan dilupakan. 

Itu sahaja kali ini. Selamat beribadah dan Salam Ramadan dari saya. 

CPR – Cakap Pasal Remaja


Malam semalam saya hadiri CPR di Masjid Sultan. Bukan CPR pernafasan mulut ke mulut tu tau! Para remaja perlu tahu CPR ni kalau tak termasuk di kalangan orang yang rugilah dia. CPR yang saya maksudkan di sini ialah Cakap Pasal Remaja. Satu program interaktif yang disusun khas untu remaja hasil inisiatif para pegawai pembangunan belia (YDO) masjid-masjid di Singapura. Program ini biasanya disertai dengan sketsa, persembahan muzik (live!) dan juga sesi talk show mengikut tema2 yang telah disusun lebih awal.

Tapi bagi sesi semalam terdapat kejutan besar pada format CPR yang diadakan sempena dengan RYC (Ramadan Youth Challenge) dan dianjurkan serentak dengan Night of Power (aktiviti Qiyam). Maknanya lepas CPR belia2 ni akan qiyam semalaman di Masjid Sultan. Hebat kan? Memang hebat, acara semalam penuh auditorium. Saya rasa ada dlm 500 belia hadir.


Kejutan yang saya maksudkan ialah sesi semalam melibatkan pementasan lakonan pentas atau teater bertemakan Quran Petunjuk Buat Manusia (juga tema bagi RYC tahun ini) hampir sejam setengah ini melibatkan pelakon rata-rata daripada para asatizah muda! Ia disertai dengan alunan muzik live dan nyanyian latar oleh Ustaz Sofyan (Imam Eksekutif Masjid Mydin). Power kan? Memang power gilerr!!! Teringat pulak saya macam film There’s Something About Mary.

Story board dia memang menarik, penuh dengan pendekatan baru dan kreatif. Saya tak tahulah sape punya idea. CPR ni dimulakan dengan MC pada malam tu yang juga merangkap storyteller atau Tok Selampit iaitu Ustaz Effendi from Masjid An-Nahdhah. Wow, he’s so talented man..cant believe it..really. Effendi memainkan peranan beliau dengan cukup baik sebagai host dan pada masa yang sama sebagai pencerita. Dengan membahasakan dirinya sebagai AKU, beliau menjadi pencerita antara babak2. Secara tak langsung beliau sebenarnya berlakon juga..cara beliau berintraksi dengan penonton. Superb! Intonasi suara beliau kadangkala lembut, kadangkala pula keras sehingga penonton tersentak!Terkujat pun boleh..

Adegan dimulakan dengan babak 4 sekawan, Dini (Ustaz Aminuddin-ex pegawai Masjid Al-Iman) Mimi (Ustaz Fairuz, YDO Masjid Al-Ansar), Jeff (Ustaz Ahmad Khushairi, YDO Darul Ghufran) dan Ilhan (Ustaz Syakir, Imam Eksekutif Masjid Al-Iman) berkain pelekat merancang untuk ponteng belajar mengaji, mereka kemudian lepak sambil berkongsi cita-cita mereka apabila sudah besar nanti. (cita2 mereka menjadi kisah utama sketsa ni). Mereka kemudian sepakat untuk bersama-sama seperti adik-beradik walau apa jua keadaan.

Move fwd, kesemua mereka membesar dengan nasib yang berbeza (diceritakan dlm bentuk flashback), Jeff (cita2 masa kecil dulu nak jadi model, konon dlm cerita ni dia paling hensem lah) akhirnya menjadi playboy rosakkan anak gadis orang, Mimi (cita2 dulu nak jadi ketua dalam apa sahaja perkara) akhir jadi ketua samseng bergelar Mimi parang- yang akhirnya dipermainkan oleh teman2 sendiri. Dini (cita2 dulu nak jadi Ustaz) bila besar pulak jadi anak derhaka, akibat terpengaruh dengan teman2 hingga jadi penagih. Tinggallah Ilhan (cita2 nak bantu orang yg susah) yang sentiasa muncul dlm flashback teman2 nya untuk membantu rakan2 yg tersesat jalan.

Cerita disudahi dengan penuh tragis, di mana akhirnya Ilhan meninggal dunia krn mengidap penyakit serius, tetapi sebelum beliau meninggal sempat utuskan satu warkah buat teman2 nya (yang dianggap adik beradik) supaya bertaubat dan insaf.

Komen saya, sketsa yang dilakokan sungguh cemerlang, penghayatan watak baik dari pelakon utama hingga ke watak kecil (cameo role) sungguh hidup dan berikan kesan yang mendalam kepada para penonton yang kebanyakannya terdiri daripada para belia dan remaja. Penonton di sebelah saya sendiri mengesat air mata..

Saya rasa tema yang ingin ditonjolkan berjaya disampaikan dengan baik, dimana di setiap adegan atau babak keinsafan disudahi dengan skrin yang mengandungi terjemahan ayat Quran dan diselangi dengan nyanyian lagu2 dakwah seperti ‘anak derhaka, pintu taubat masih terbuka…’ oh sungguh menyentuh kalbu rasanya.

Konsep tempat duduk juga tiada percampuran antara lelaki dan perempuan, terdapat watak lakonan pelakon muslimah, seorang sebagai ibu (ibu kepada Dini) seorang lagi pula berlakon sebagai Farah (Norizan) temanita Jeff (Norizan ialah isteri Ustaz Ahmad Khushairi sendiri) wah2 sungguh romantik dan manja sebagai kekasih.. : ) Sporting betul lah..

Story yang disampaikan juga tidak stereotype, budak madrasah tak semestinya baik dan boleh tersesat jika tidak berhati2, begitu juga dengan kerja dakwah bukan hanya satu tugas eksklusif untuk asatizah shj. Ia tanggungjawab semua individu Muslim.

Siapa kata drama remaja tidak boleh diselitkan dengan unsur dakwah serta tidak bercampur unsur2 syubhah ataupun haram? Melihat dari segi impak nya kepada penonton, malah di babak akhir sungguh klimaks dengan ketiga2 watak utama menangis teresak2 dengan pada masa yang sama kami semua mendengarkan isi kandungan warkah yang dibaca oleh Ilhan (Ustaz Syakir) dengan bait yang tersusun rapi, intonasi suara yang terkawal. Sungguh menyayat hati..5 ***** dari saya.

Pengalaman Kaunseling Para Tahanan JI

Alhamdulillah, baru-baru ini saya dikhabarkan oleh salah seorang pegawai MHA, bahawa salah seorang tahanan JI yang saya berikan kaunseling telah dibebaskan. Ini merupakan satu praktis daripada mereka untuk memberitahu kami, kaunselor bagi para tahanan yang dibebaskan sebelum diumumkan di media. 

Gembira saya kerana ini merupakan tahanan yang ketiga dibebaskan, tinggal lagi satu lagi tahanan di bawah kendalian saya…baru beberapa sesi saya dengannya…I.Allah, jika dia menunjukkan respon yang baik, tidak mustahil beliau juga punya harapan yang cerah, segalanya sebenarnya bergantung kepada individu tersebut. 

Apa yang dimaklumkan sistem kaunseling agama untuk para tahanan JI ini merupakan yang pertama dilakukan di dunia, banyak negara luar yang menghadapi ancaman pengganasan seperti Amerika, Malaysia, Thailand, Indonesia dan lain2 negara mempelajari dari pengalaman Singapura dalam hal ini. 

Bagi posting kali ini, saya kongsi bersama artikel saya yang diterbitkan dalam buku ulangtahun ke 5, Kumpulan Rehabilitasi Keagamaan yang baru-baru ini dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri dalam Negeri, Encik Wong Kan Seng pada majlis Iftar di Masjid Khadijah baru-baru ini. 

PENGALAMAN KAUNSELING PARA TAHANAN JI

Apabila diminta untuk menyumbangkan sebuah artikel bagi coffee book table RRG, perkara pertama yang saya terlintas di fikiran ialah untuk berkongsi pengalaman saya dalam memberikan kaunseling kepada para tahanan JI.

Masih terbayang di benak fikiran saya apabila kali pertama berita penangkapan beberapa anggota JI disebarkan melalui media massa pada tahun 2001. Ia ibarat tsunami yang melanda umat Islam di Singapura. Secara tiba-tiba segala amalan masyarakat Islam Singapura menjadi perhatian.

Pada masa yang sama terdengar juga suara-suara tidak percaya di kalangan masyarakat Islam di sini, benarkah peristiwa ini berlaku di negara tercinta kita Singapura? Apakah peristiwa perancangan pengeboman MRT Yishun benar-benar terjadi? Begitu juga dengan rakaman video lokasi strategik bagi tujuan yang sama di beberapa kedutaan asing dan saluran paip air Johor ke Singapura.

Terdetik pula rasa hati ini ingin tahu, bagaimanakah reaksi para pemimpin Islam dan juga guru agama serta ulama akan hal ini? Alhamdulillah, penantian saya tidak lama kerana beberapa bulan kemudian beberapa asatizah telah ke hadapan secara sukarela dan Kumpulan Rehabilitasi Agama atau RRG terbentuk. Bahkan saya juga dijemput untuk sama-sama melibatkan diri secara sukarela, pelawaan ini tidak memerlukan saya berfikir panjang untuk menerimanya.

Apa yang membuatkan saya tidak berfikir dua kali bagi menerima undangan ini ialah kerana perasaan ingin tahu yang menebal, selain merasakan pengalaman sebegini adalah satu perkara yang sukar untuk dilepaskan. Ianya pasti tidak sama dengan pengalaman kaunseling saya sebelum ini dengan para belia, orang dewasa atau dengan pasangan yang telah berumahtangga. Namun pada masa yang sama juga saya berdebar-debar, apakah saya mampu menangani klien yang pastinya berbeza daripada pengalaman saya yang terdahulu.

Sebagai permulaan, kami perlu mengikuti beberapa kursus oleh para psikologi Kementerian Dalam Negeri dan diberikan manual yang telah disiapkan oleh pihak Sekretariat RRG bagi membantu menangani ideologi para tahanan.

Ketika rencana ini ditulis, saya sudahpun terlibat dalam memberikan kaunseling kepada 3 tahanan (Detention Order) dengan setiap seorang di antara 6 hingga 12 sesi. Ini tidak termasuk kaunseling kepada beberapa individu yang mendapat perintah larangan (Restriction Order).

Pengalaman Pertama

Setelah menjalani beberapa siri latihan, maka tibalah giliran saya bagi sesi pertama, untuk sesi ini saya berpasangan dengan Ustaz Hasan Mustakim (Allahyarham). Gementar juga hati ini, masih segar di ingatan saya, pada hari tersebut klien kami pada masa itu membawa tafsiran kitab suci al-Quran. Wah, bukan calang-calang nampaknya.

Melalui pemerhatian saya, saya mendapati beliau mendapat layanan baik, ini jelas daripada wajah ceria klien, pakaian baju kurung lengkap dengan kopiah di kepala, bahkan dalam sesi kaunseling kami ini, terdapat kueh mueh dengan air minuman kopi dan teh untuk kami bertiga.

Bagi sesi pertama ini, lebih kepada sesi kenal-mengenal atau building rapport, kami berpeluang mengenal dengan lebih mendalam klien kami selain mengetahui dengan lebih jelas bagaimana beliau mula terjebak.

Alhamdulillah dengan kemahiran dan pengalaman kaunseling yang pernah dipelajari, kami  berjaya jalinkan hubungan kepercayaan dengan klien kami. Ini sangat penting agar segala tunjuk ajar kami dapat dipastikan dan diterima dengan baik.

Selepas mendengar sendiri dari mereka, semakin tidak syak lagi ianya memang benar-benar berlaku. Beberapa individu yang disebutkan oleh klien kami ini memang saya pernah terbaca di dada-dada akhbar dan ada antaranya memang antara individu yang paling dikehendaki oleh pihak antarabangsa pada masa itu. 

Ketika kali kedua berjumpa pula, saya keseorangan. Ini kerana pasangan saya Ustaz Hasan tidak dapat hadir atas sebab-sebab tertentu. Kali ini beliau membawa cebisan kertas penuh dengan soalan-soalan. Alhamdulillah,  dapat saya menjawab segala salah faham beliau seperti  pengertian dan konsep jihad yang sebenarnya dan lain-lain isu yang bersangkutan bersesuaian dengan konteks kehidupan masyarakat Islam di sini. 

Ini termasuklah keperluan untuk kita berinteraksi dengan sesama rakyat Singapura yang lain termasuk bukan Muslim, selain dari keperluan memberikan prioriti dan keutamaan jihad terhadap pendidikan, memandangkan masyarakat Islam Singapura masih lagi  ketinggalan dan terkebelakang berbanding dengan bangsa dan agama lain dalam bidang pelajaran.

Tekanan Perasaan

Selain daripada menangkis ideologi salah para tahanan, sesi kaunseling kami juga bertujuan untuk memberikan sokongan emosi bagi para tahanan selain mempersiapkan diri mereka dengan cabaran di luar selepas bebas nanti.

Tekanan emosi ini antaranya disebabkan kerana para tahanan tidak dapat membantu dalam mencari nafkah untuk perbelanjaan keluarga dan urusan penjagaan anak yang dipikul sepenuhnya oleh isteri.

Biasanya saya akan membantu mereka dalam menangani isu-isu yang dibangkitkan seperti cabaran anak-anak yang semakin meningkat dewasa. Ini dilakukan dengan perbincangan secara bersama tentang strategi yang boleh dilakukan termasuk bagaimana cara terbaik dalam melakukan teguran agar nasihat yang diberikan dapat diterima dengan baik oleh anak-anak.

Dari semasa ke semasa kami juga perlu memberikan mereka semangat dan dorongan agar terus cekal dan mempunyai daya tahan dalam mengharungi kehidupan di dalam tahanan selain terus melakukan perubahan positif dalam diri sehingga mereka dapat dibebaskan.

Kesemuanya ini biasanya diadakan pada fasa kedua selama enam sesi.

Peluang Meningkatkan Kerohanian

Semasa sesi kaunseling dengan sesetengah para tahanan, kadang kala membuatkan saya teruja apabila melihatkan kesungguhan sebahagian dari mereka yang mengambil peluang mendekatkan diri kepada Tuhan dengan melakukan ibadah seperti membaca dan menghafal ayat-ayat suci al-Quran.  

Salah satu klien yang saya temui, hanya berehat beberapa jam sahaja dan selebihnya digunakan bagi membaca atau menghafal Quran dan melakukan solat-solat sunnah pada sebelah siang mahupun malam. Malah ada di antara mereka yang sudah menghafal beberapa juz Al-Quran.

Peranan saya di sini ialah terus memberikan mereka kata-kata perangsang dan semangat serta dorongan agar mereka terus dapat melakukan amalan yang terpuji ini.

Langkah Seterusnya

Boleh dirumuskan daripada pemerhatian saya, kebanyakan daripada para tahanan tidak mempunyai asas agama yang kuat dan kefahaman yang betul tentang isu-isu yang bersangkuran seperti jihad dan sebagainya sehingga mudah dimanipulasikan oleh pihak-pihak tertentu yang menggunakan ayat-ayat suci al-Quran mengikut penafsiran yang bersesuaian dengan kehendak mereka. Ini lebih diburukkan apabila individu-individu yang didakwa sebagai guru agama ini mempunyai karisma yang tinggi.

Kaedah penyampaian mereka juga jelas mencurigakan kerana ia diajar secara tertutup di rumah para ahli yang tertentu, nota-nota ajaran ini pula disebarkan secara rahsia dan tidak boleh diedarkan kepada orang lain.

Oleh itu langkah Muis mengadakan skim pengiktirafan Asatizah atau ARS adalah tepat pada masanya dan merupakan satu tindakan yang patut dipuji serta merupakan satu langkah ke hadapan. Selain dari itu, pihak RRG juga perlu meneruskan usaha-usaha memberikan kaunseling selain bergerak dengan lebih pro aktif dalam melakukan outreach ke sekolah-sekolah nasional mahupun Madrasah atau juga ke pusat-pusat pengajian tinggi.

Bagi diri saya pula, pengalaman melibatkan diri dalam memberi kaunseling kepada para tahanan merupakan pengalaman sekali seumur hidup, saya menganggap ia sebagai peluang untuk berbakti kepada negara dan juga agama di samping berusaha mengembalikan para tahanan kepada masyarakat.

Tiada yang lebih dapat memberi kepuasan dan bererti pada diri selain daripada melihat para tahanan dibebaskan dan kembali menjalani hidup dengan masyarakat lain seperti biasa. 

Cabaran Pasangan Muda

Sebelum tiba bulan Ramadan yang lalu, aturcara saya pada hujung minggu sedikit sibuk dengan tempahan menikahkan pasangan. Bulan Ramadan ni pun ada satu pasangan yang bernikah pada hujung minggu depan! 

Cakap tentang menikahkan pasangan memang banyak peristiwa lucu..antara peristiwa yang tidak dapat saya lupakan ialah pabila menikahkan pasangan warga emas, yang perempuan dalam lingkungan 50 an, manakala yang lelaki pula dalam lingkungan 60an. Tetamu kesemuanya saudara mara terdekat, anak, cucu, adik beradik dan sebagainya..memang meriah abis. Yang lucunya ialah bila saya ingin dapatkan tanda tangan pengantin perempuan, makcik ni pun dengan tersipu2 sebab diusik oleh anak-anak dan adik beradik..mula tanda tangan..nak tahu apa dia sign? Z 

Rupanya dia guna initial nama dia je, tiba2 teringat film ‘Zorro’..watak Zorro juga guna initial yang sama. saya hanya mampu tersenyum je..selamat tak tergelak kan? Kalau tidak abis aku! Kena gantung lesen lah nampaknya…

Lagi satu peristiwa pula membabitkan pasangan yang bernikah semula (bukan rujuk, sebab dah habis iddah), kedua-dua pasangan ni (usia 30 an) pakai baju rumah je, maklum dikelilingi anak-anak dan juga saudara mara terdekat, tiba masa nak nikahkan mereka, pengantin pompuan hilang. Sibuklah sedara mara cari, Jenab..oh Jenab (nama rekaan), mana kau ni? Rupanya Si Jenab ni kat dapur tengah buat air utk tetamu! Ya Allah!.. : ) Terpaksalah dia bergegas ke ruang tamu..mungkin sebab ia hanya sekadar satu ritual untuk menyatukan mereka dan tetamu pula sedara mara..jadilah macam tu. Apapun, syukur mereka disatukan semula dan kembali sebagai pasangan suami isteri. Semoga berkekalan hingga ke sepanjang hayat hendaknya. Amin!

Haai, sebenarnya saya nak cerita lain, keluar lain pulak posting saya ni! Sebenarnya sejak kebelakangan ini saya menerima beberapa tempahan nikah untuk pasangan muda, lebih tepat lagi pasangan berusia belasan tahun. 

Biasanya dalam situasi begini, saya terpaksa modify sikit khutbah nikah yang disampaikan pada pasangan..di mana saya akan selitkan sedikit nasihat buat kedua orang tua mempelai ini agar sama-sama membantu anak-anak mereka dalam mengharungi kehidupan rumahtangga yang penuh dugaan serta cabaran termasuklah bantuan dari segi kewangan. Maklum sahajalah pasangan muda kan? Tak boleh lepas tangan gitu je..

Lepas nikah saya ingatkan lagi ibu bapa mereka, mereka perlu bersedia terima sebarang kekurangan yang ada pada diri anak dan juga menantu, ini kerana pasangan muda perlu masa untuk melakukan adaptasi atau perubahan sebagai suami isteri. Maklum kalau masa kita umur 18 tahun atau 19 tahun  apa yang kita buat? Kalau yang lelaki (tak semua) mesti biasanya nak lepak2 dgn kawan kan? Tapi dah jadi suami, tak boleh lah lepak tiap hari..tu semua perlukan pengorbanan yang tinggi untuk berubah dari pasangan…jadi, ibu bapa perlu beri galakan dan perangsang. Jangan mengomel (sila lihat posting saya yang telah sudah), sebab siapa yang nak suruh kawin awal? Jadi kita sebagai orang dewasa kena bantu pasangan muda ni.. 

Ini tidak termasuk bila pasangan muda ni dapat cahaya mata..kalau suami NS siapa nak jaga? susu pulak siapa nak beli? Jadi tidak boleh tidak kedua ibu bapa dan besan perlu bekerjasama dan berbincang dalam hal ini..inilah yang sering saya kongsi bersama para ibu bapa pasangan muda bila saya diminta berikan ceramah kursus rumahtangga pasangan muda kelolaan Hub Inspirasi di AMP. Maklum, pasangan yang matang bila dilanda badai boleh bergoyang apatah lagi bagi pasangan muda? 

Oleh itu, kedua ibu bapa dan besan perlu bersatu hati dalam hal ini sebagaimana kita bersatu hati izinkan mereka menikah awal, sebab matlamat kita ialah supaya rumahtangga mereka berkekalan hingga ke sepanjang hayat..mungkin sekarang mereka belum biasa, tapi I.allah dengan sokongan, bimbingan kita..akan menjadikan mereka matang dan bertanggungjawab dalam mengharungi suka duka perkahwinan. Ia memang susah..tapi tidak mustahil sebenarnya. 

Semoga usaha kita semua berjaya hendaknya. Amin.

Nawaitu…

Selepas artikel blog Ilham Rasa keluar di BM, terdapat kenaikan yang mendadak semalaman pada laman ini. Hari Ahad biasanya merupakan off peak bagi viewers tapi tidak semalam. Hampir 420 pengunjung melawati laman ini.  Terima kasih BM!

Saya sebenarnya terus terang segan untuk muncul di BM kerana takut dikatakan ingin publisiti selain beranggapan saya masih baru dalam arena ini.. Hanya apabila penulis bersetuju menggandingkan saya dengan beberapa penulis blog mapan seperti Ustaz Haniff, barulah saya bersetuju. Seperkara lagi, lepas difikirkan mendalam..tak kiralah apa pandangan orang yang penting niat kita ikhlas mengharapkan keredhaan Allah.

Cakap pasal niat ni, saya sempat survey daripada beberapa laman blog yang melawati posting saya berkenaan ‘Niat’ dan mendapati perkara berikut:

1. Terdapat salah faham daripada pengunjung yang membaca posting saya ini, bahawa jika kita terlupa niat, puasa tetap sah. Salah faham ini berpunca daripada kefahaman bahawa lafaz ‘Nawaitu Shauma Ghadin…’ merupakan satu niat. Ia sebenarnya tidak. Ia hanya sekadar satu LAFAZ atau BACAAN kecuali kita niatkan dalam HATI.

BACA atau LAFAZ = BUKAN NIAT

Ada baiknya saya jelaskan maksud niat berdasarkan pandangan ulama:
- Ibn Qayyim: Niat ertinya menyengaja dan bermaksud bersungguh-sungguh untuk melakukan sesuatu dan tempanya di DALAM HATI, dan tidak ada sangkut paut dengan lisan (sebutan).
- Imam Nawawi : Niat ialah keinginan (intent) yang ada DALAM HATI.
Kesimpulannya niat adalah amal seorang mukmin yang terbit dari kehendak, keinginan atau azam melakukan sesuatu.

Suka saya tekan di sini, niat untuk mengerjakan ibadah puasa adalah WAJIB. Hanya ia boleh dicapai dengan kehendak, keinginan (Intent) atau azam untuk berpuasa esok hari.

Cuma masaalahnya, kita faham bahawa lafaz atau bacaan ‘Nawaitu…’ adalah niat. Jadi bila kita tak baca ‘Nawaitu..’ kita faham kita tak niat puasa. Sedangkan sebenarnya kita sudah niat puasa sebab kita sudah punya azam atau keinginan untuk puasa esok hari hari sebagai menunaikan kewajipan puasa bulan Ramadan yang diperintahkan oleh Allah.

Isu ini samalah seperti bacaan lafaz ‘Usolli’ dalam solat, ia bukan niat…ia hanya satu lafaz. Isu lafaz ‘Usolli’ ini mungkin akan saya jelaskan pada posting akan datang.

2. Salah faham bahawa jika tidak sahur, tak boleh puasa.  Saya tidak pasti berapa ramai masyarakat Islam kita yang beranggapan sedemikian. Ia hanya dapat dipastikan melalui survey. Tetapi yang pastinya memang ada yang faham puasa perlu sahur dan jika tidak sahur, tidak boleh puasa.

Sebenarnya, sahur hanyalah satu galakan daripada Rasulullah kepada sesiapa yang berpuasa. Ia tidak WAJIB. Tetapi sangat baik dilakukan dan mendapat keberkatan bagi sesiapa yang sahur. Ia memberi kita kekuatan fizikal bagi mengharungi puasa, juga mendidik kita untuk untuk bangun awal bagi melakukan solat malam dan seterusnya mengerjakan solat Subuh, selain dari itu waktu sahur juga merupakan waktu yang baik untuk kita berdoa.

3. Perlu kajian lanjut bagi kefahaman masyarakat Islam Singapura dalan ibadah puasa. Juga kempen bagi menangani perkara ini sebagai satu public education pada masyarakat.

Alhamdulillah, satu inisiatif kempen solat telah pun dilakukan oleh Pergas. Saya sendiri terlibat dalam menasihati komiti bagi kempen ini, memandangkan ianya bersesuaian dengan kajian sarjana saya.  I.Allah, satu forum khas bertajuk, Tiada Solat, Amalan Ditolak? akan diadakan di Masjid Kassim pada 20 September ini pada jam 2.00 petang.

4. Isu niat yang saya jelaskan dalam posting ini, bukan merupakan satu perkara baru. Ia sudah disebutkan oleh ulama terdahulu. Namun terdapat kesilapan dari segi pengajaran berkaitan perkara ini yang perlu diperbaiki.

Saya berharap agar asatizah yang terlibat dalam pengajaran solat atau puasa di madrasah separuh masa atau mengajar di kuliah2 serta di kelas remaja dan dewasa  dapat memberikan perhatian serius pada perkara ini. Bagi sesiapa yang ingin penjelasan lanjut perkara ini boleh email saya di abah.yasir@gmail.com atau hubungi saya di pejabat (Masjid Al-Falah).

Selamat Berpuasa dan jangan lupa NIAT!

Eksklusif: Lanjutan Kepada Artikel BM

Pengalaman bekerjasama dengan para asatizah tempatan untuk menghasilkan laporan eksklusif untuk Berita Minggu (BM) hari ini merupakan satu pengalaman yang istimewa yang tidak dapat aku lupakan. Maklum sajalah, bukan mudah untuk mencari “sumber” untuk menguatkan lagi rencana yang harus aku hantar kepada akak Hanim Mohd Salleh. Dateline semakin hampir (laporan dijangka disiarkan pada bulan Ramadan sewaktu mula-mula mendapat go ahead dari BM beberapa bulan sebelum ini), jadi aku terpaksa perah otak untuk mulakan tanggungjawab yang diberikan.

Alhamdulillah. Aku mendapat kerjasama yang baik dari para asatizah kita – Ustaz Mohd Yusri Yubhi, Ustaz Muhd Haniff dan Ustaz Saifurrahman. Soalan-soalan untuk mewawancara mereka mengambil masa yang agak lama untuk disiapkan. Rasanya macam nak interviu mereka untuk rancangan Forum @ TV Suria pulak. Padahal untuk laporan akhbar. Soalan panjang sejengkal. Aku rasa Menteri Mentor Lee Kuan Yew pun tak sanggup nak jawab soalan yang aku kemukakan. Hehe.

 

Bagaimanapun, oleh kerana keterbatasan ruang di akhbar, maka tidak semua soalan yang aku ajukan kepada para asatizah jemputanku disiarkan untuk dijadikan laporan lengkap. Kalau disiarkan sepenuhnya, aku rasa, editor BM tak sanggup nak bayar duit penat aku. Itu belum termasuk duit kopi dan wang saguhati yang sewaktu dengannya. Haha. Lantas, untuk entry kali ini, aku akan siarkan beberapa soal-jawab aku bersama para asatizah jemputan di mana ada di antaranya tidak dapat disertakan dalam laporan BM itu.

Mudah-mudahan kita dapat mengetahui dengan lebih lanjut lagi, apa yang ingin disampaikan oleh para asatizah kita tentang blog-blog yang mereka hasilkan itu. Untuk pengetahuan anda, jawapan mereka yang disiarkan telah disunting untuk penyesuaian blog ini. Teruskan membaca.

<> <> <> <> <> <> <>

 Aku: Adakah perlu bagi bloggers Melayu/Islam menyelitkan unsur-unsur agama dalam blog mereka? Pandangan ustaz…

 Ust Haniff: Ya, perlu. Ini kerana menyampaikan pesanan agama adalah tanggungjawab setiap Muslim. Cuma, sesiapa yang ingin menyelitkan unsur agama hendaklah memastikan kandungannya itu betul. Jika dia tidak mampu untuk mengolah sendiri, dapatkanlah dari sumber-sumber yang boleh dipercayai.

Ust Saifurrahman: Menyelitkan unsur-unsur agama tidak menjadi isu bagi saya. Jika seseorang itu benar-benar faham akan konsep Islam itu agama fitrah dan unggul, maka apa yang disampaikan itu adalah dari sudut agama Islam itu sendiri. Itulah yang cuba yang selitkan pada setiap entry saya. Apa yang penting, ia tidak terlalu too religious hingga membuatkan orang yang membacanya rasa turned off.

Aku: Siapakah yang telah menjadi sumber inspirasi Ustaz dalam penghasilan blog Ustaz sekarang?

Ust Yusri: Saya mendapat inspirasi daripada blog Ustaz Muhd Haniff. Selain itu, saya tersentak dengan dengan pandangan beliau bahawa asatizah banyak buat blog tetapi lebih kepada blog peribadi. Saya rasa kenapa tidak saya kongsi pengalaman kerja saya (yang sering berdamping dengan ibu bapa serta remaja selain dari pasangan suami-isteri serta orang dewasa di masjid ataupun di badan-badan Islam tertentu)? Maka dari situ terhasillah blog yang dinamakan Ilham Rasa.

 Ust Haniff: Err… no one really inspired me.

 Ust Saifurrahman: Tiada sesiapa. Saya melibatkan diri dalam blog kerana ia, pada pendapat saya, adalah keperluan semasa berdakwah.

Aku: Sebagai seorang Ustaz, adakah satu kemestian kandungan blog Ustaz hanya tertumpu kepada konsep dan nilai agama sahaja, dan tidak pada konsep universal ataupun kepelbagaian?

Ust Yusri: Ia bukan satu kemestian. Saya lebih suka menyampaikan nilai agama melalui penulisan yang santai dan ada sedikit humor bagi menarik minat pembaca dan secara tidak langsung, mereka dapat mengutip pengetahuan yang baru dan dapat mereka praktikkan dalam kehidupan seharian.

Ust Haniff: Sama ada seorang ustaz ingin memberi fokus pada unsur universal atau agama, ini adalah soal pendekatan masing-masing. Ia bergantung pada faktor sasaran dan personaliti ustaz itu sendiri. Di dalam Islam terdapat banyak ajaran yang boleh dipakejkan sebagai sesuatu yang universal, sebagaimana juga ia mengandungi ajaran-ajaran yang unik.

 Ust Saifurrahman: Tidak semestinya. Kehidupan ada kepelbagaian. Dan Islam merangkumi segala aspek kehidupan. Konsep universal adalah cara peribadi saya kerana tasawwur saya begitu. Dan saya rasa ramai yang begitu jika dilihat berdasarkan jumlah pengunjung ke blog saya.

 

Aku: Bak kata pepatah Melayu, kerana nila setitik rosak susu sebelanga. Apakah pandangan Ustaz mengenai blog yang mengandungi unsur-unsur lucah yang boleh mencemarkan etika penghasilan blog, dan bagaimana kita boleh mengekang keadaan ini dan mengembalikan keyakinan para pengunjung untuk menghasilkan blog?

Ust Saifurrahman: Sebuah blog yang tercemar tidak boleh mencemarkan blog yang lain – itu keistimewaan blog. Ada banyak blog yang berlainan approach, content, views, perspectives, etc… so there is a treasure of information. Be consistent with the quality of your blog dengan unsur-unsur kebaikan manusia sejagat.

 Aku: Apa yang Ustaz harapkan setelah memiliki blog sendiri?

Ust Haniff: Saya harap kalau ada yang dapat kehadapan secara sukarela dan menjadi penaja yang budiman untuk membantu saya membangunkan web peribadi saya yang menggabungkan segala bahan-bahan yang saya hasilkan setakat ini.

Ust Saifurrahman: InsyaAllah, blog saya akan terus berkembang, dan mudah-mudahan dapat menarik lebih ramai pengunjung, sambil dapat memikirkan bersama apa yang telah saya persembahkan dalam blog saya itu.

Perkongsian Disertasi: Pengamalan Niat

Sebelum masuk bulan Ramadan tempohari, saya ditanya oleh seorang muallaf berbangsa India. Beliau bertanyakan saya dalam bahasa Inggeris, bagaimana hendak niat puasa? Saya beritahu padanya, ‘we can start the niat at night after Maghrib, buat actually if you had the intention to fasting tomorrow because of Ramadan, it already consider as niyyat’ Gembira dia, dia jawab ‘that’s the best advice I eved had (about niat)’ Alhamdulillah. 

Agama itu sebenarnya mudah, Nabi kata ‘ Ad-Diin Yusron’ ertinya, Agama (Islam) itu mudah. Tapi kita yang menyusahkan sendiri, kita diajar dari kecil perlu baca lafaz ‘Nawaitu Shauma Ghadin….’ kalau tak baca lafaz niat tu, tak sah puasa! Sampai ada yang buat alasan tak puasa sebab tak niat! Sebenarnya tidak sebegitu dalam ajaran Islam. Bila kita berhajat untuk puasa esok hari kerana sudah masuk bulan Ramadan, dan pastinya puasa kita pula kerana Allah..maka itu sudah dikira niat namanya. Niat kan tempatnya dalam hati? Adapun baca lafaz niat itu tiada bersalahan..ia lebih menguatkan lagi apa yang sudah kita niatkan. 

Sama juga bila kita nak mandi wajib sebab berjunub atau uzur bagi wanita. Bila kita tahu kita berhadas besar dan ingin mandi untuk bersihkan dari hadas besar, tu sudah niatlah..takkan nak baca lafaz niat dalam bilik air! ‘Sahaja aku mandi hadas besar kerana Allah..’

Sebenarnya perkara ini ada saya sentuh dalam disertasi (thesis) sarjana saya semasa membicakan tentang pengamalan solat, saya mendapati melalui kajian soal selidik (questionnaire) yang diedarkan kepada lebih 240 responden. 10.3% daripadanya tidak menjatuhkan niat dalam hati ketika ingin mendirikan solat! Sah ke tu? Kenapa jadi begitu? Sebabnya mereka melafazkan di bibir sahaja. Bahayakan? Saya hanya bersangka baik mereka mempunyai niat sebenarnya jauh di sudut hati mereka dan solat mereka diterima Allah hendaknya. 

Saya membuat kesimpulan ianya berpunca daripada teks buku2 solat terdahulu yang digunakan oleh masyarakat Islam Singapura menitik beratkan tentang amalan lafaz niat tanpa dijelaskan niat sebenarnya perlu dijatuhkan dalam hati. Ini ditambah pula tiada penekanan daripada asatizah sendiri.

Bagi mengatasi perkara ini saya ada mencadangkan beberapa perkara, antaranya:

1. Disemak dan disunting buku2 teks sedia ada berkaitan pengamalan solat.
2. Diterbitkan buku teks Feqh terkini dengan pengubahsuian berdasarkan sifat solat Rasulullah yang sebenarnya.  
3. Asatizah yang mengajarkan pelajaran Feqh perlu merujuk daripada kitab asal tradisional Feqh atau kitab2 Hadith yang asal. 

I.Allah, di lain masa saya akan berkongsi tentang topik lain pula daripada disertasi saya.

Hari Tua

Gembira saya malam ni, bila balik rumah anak-anak masih belum tidur. Maklumlah, biasanya bila saya pulang kedua-duanya dah nyenyak tidur. 

Bila dah solat dan iftar. Saya bersandar dan baring untuk rehat sekejap. Sebentar kemudian, kedua anak himpit duduk sebelah..mula2 kakak lepas tu adik. Mulalah, si kakak story pasal cerita cartoon kegemaran dia, mula dengan Teen Titan, Ben 10, Power Puff Girl, Naruto, Road Runner, Tom Jerry etc..non stop. Terpaksa layan..hmmph, makinlah seronok dia cerita. Oleh kerana selalu sangat cerita, saya sampai hafal watak2 utama kartun ni. Si kakak terkejut saya tahu cerita pasal Road Runner..haha..zaman abah dah ada dah benda ni semua.. : ) 

Beginilah..bila dah ada anak..tapi saya seronok, walaupun penat layan karenah dorang..kadang2 boleh meletup jugak..geram. Tiba2 berkata hati saya, anak2 abah ni boleh jaga abah dengan mama tak masa tua nanti? 

Teringat saya semasa perjalanan pulang ke rumah tadi, sempat saya singgah ke Mcdonald’s di Tampines Bus interchange, saya beli 1 french fries..sebab masa tu dah masuk waktu berbuka. Tiba-tiba ada seorang makcik, beliau kelihatan tidak berapa terurus (dalam lingkungan umur 50an) tegur saya..’Nak, makcik belum buka..boleh belikan makcik nugget dengan Ice lemon tea! Alamak biar betul makcik ni, tak agak2 menu kiriman dia tu..saya jawab ok. Kemudia dia bersuara lagi..’nak, makcik nak Chicken wing..’ saya tanya makcik taknak nugget? Dia jawab ‘Nak juga, dua-dua nak’. Kuatnya makcik ni makan kata hati saya..mula2, saya ingat dia nak suruh belanja..rupanya dia nak kirim. Tapi di tangan dia ada $5 shj. Takpelah..tak tergamak pulak nak amik duit makcik ni.    

Balik je rumah masa buka dengan isteri saya, saya share cerita ni, dia kata..makcik2 ni mungkin suka jalan2, sebab tak selesa duduk rumah anak. Dorang lebih suka jalan2 daripada duduk rumah, jadi balik je dah malam, kalau di rumah kena marah dan meleter, banyak kes sekarang macam tu..luah isteri saya. Dia kemudian share satu cerita di BH baru2 ni, seorang nenek kena jaga cucu, masak untuk menantu..tapi selalu kena marah dan diherdik, pernah kalau dia gunakan sudu, sudu tu akan dibuang..sebab menantu jijik dengan bekas mertuanya. Teruk kan?

Kes begini kadang2 terjadi bila si suami sbg anak tidak tunjukkan kepimpinan dalam keluarga. Ibu bapa boleh jaga anak..anak cacat dijaga ibu bapa satu perkara biasa. Tapi kes-kes seperti ibu bapa tidak dihirau anak juga satu perkara biasa..anak-anak tolak menolak bila disuruh jaga ibu bapa. Mengira semuanya..kalau satu tak beralah..siapa nak jaga? Perkara sebegini berlaku biasanya bila mak bapa dah jual rumah dan bagikan wang jual rumah pada anak menantu. Mak bapa terpaksa menumpang.. 

Sebab tu penting bagi kita untuk fikirkan persaraan, pastikan simpanan atau insuran mencukupi, ini penting agar kita tak susahkan anak2 kita. Jangan harapkan sangat, ah nanti aku dah tua anak2 aku boleh bagi aku duit..belum tentu..kita tak tahu bagaimana nasib anak2 kita. Tapi jika kita dapat yang membalas budi dan beri sumbangan pada kita tiap bulan,..Alhamdulillah..itu satu bonus. 

Saya sangat percaya, segalanya bermula dari kita sendiri. Kita yang menjadi contoh kepada anak-anak. Cara kita layan isteri atau suami, cara kita layan ibu bapa kita yang sudah tua. Kesemuanya diperhatikan anak-anak kita. 

Cabaran terbesar kita ialah menjaga orang tua apabila mereka sudah tidak berdaya lagi..ada satu hadith menyebutkan yang maksudnya, pahala paling besar dan paling dekat dengan pengorbanan yang dibuat oleh si ibu atau bapa ketika menjaga kita semasa kecil ialah apabila kita menjaga ibu bapa kita yang sudah tidak berdaya lagi..orang tua yang sudah tidak mampu istinjak sendiri, mandi dan sebagainya..itupun belum sama dan terbalas jasa dan pengorbanan ibu bapa kita…persoalannya..mampukah kita buat begitu? Mudahan kita mampu dan dapat menjadi anak yang soleh dan solehah..

Persoalan saya masih belum terjawab..anak2 pun masih kecil. Semoga hari tua saya nanti, saya dan isteri tidak meminta dan menyusahkan orang lain. Bagi memastikan ianya satu realiti,  saya telahpun merancang plan persaraan saya dan isteri 2 tahun yang lalu..dan berharap pada usia pencen saya..saya sudah tidak sibuk bekerja lagi macam sekarang..tapi mudah-mudah an tetap mampu beri sumbangan pada masyarakat dalam kapasiti termampu saya. I.Allah.

Dulu Lain, Sekarang Lain…

Peringatan! Posting kali ini banyak flashback dan kenangan nostalgia…

Semalam sepatutnya giliran saya menjadi Imam Terawih bagi pembukaan malam pertama Ramadan, tetapi akhirnya saya terpaksa jadi makmum terhormat kerana ada Imam jemputan dari Mesir yang dibawa oleh Masjid Ba’ ‘Alwie pada saat2 akhir. Chairman kata, Ustaz relax sudahlah malam ni..Alhamdulillah!. Teruk eh? : )

Apa yang ingin saya ceritakan kali ini ialah ketika saya solat witir di belakang, bersebelahan saya kawan bawah blok saya semasa kecil dulu (ketika umur lingkungan 9-15 tahun). Masa kecik2 pernah satu ketika dia digelar ‘anak bulan’ sebab berfesyenkan skinhead.

Hai, tiba2 teringat pula saya kenangan kita dulu masa bulan Ramadan. Saya ceritakan dengan dia..dia pun masih ingat..kita tergelak..apa taknya. Bayangkan orang solat terawih banyak rakaat, kita solat terawih bawah kolong blok (masa tu Ghufran belum dibina) 2 rakaat jer lepas tu terus cabut! Kain pelikat dicabut, tinggallah seluar short (disclaimer: masa tu belum baligh) kita main bola sampai pukul 10pm..kadang2 main sembunyi2. Undang2 nya, boleh sembunyi sampai tingkat 14! Ya Allah..Lengitlah siapa yang kena cari tu..Nakal kan kita?

Bayangkan, gang2 saya ni masa umur 10 tahun kita dah ramai2 pergi Stadium tengok Malaysia Cup..kalau gol jer..keropok..pap pup pap pup..dalam gang saya tu, saya sorang budak Madrasah..yang lain sekolah nasional.

Masa membesar, dengarnya ada yang kena masuk dalam, ada juga yang masuk poly, masuk U pun ada juga, yang jadi rappers pun ada juga (pernah masuk talentime), yang tak masuk apa2 pun ada juga : ) .

Tapi sejak saya kerja di Al-Falah, saya jumpa hampir 10 orang teman2 saya ni yang dulu nakal macam nak aper..saya sungguh gembira dengan perubahan teman2, termasuklah kawan saya ni..beliau pandu teksi sekarang.

Saya bersyukur sebab mereka tak segan berbual dengan saya, tapi ada juga yang segan. Mereka panggil saya Ustaz, saya cakap tak payahlah, panggil Yus jer, kita kan members. Sampai sekarang saya tak kisah, kalau ada jemaah panggil atau kenalan baru yang panggil saya dengan nama Yusri. Bukan apa, tak panggil Ustaz pun, kita tetap Ustaz kan..

Teringat cerita pasa zaman Nabi, masa baginda nak meterai pernjanjian Hudaibiyyah. Utusan Musyrikin Quraish tidak ingin gunakan nama baginda disertai dengan tulisan ’Rasulullah’. Para sahabat membantah. Baginda cool je. Beliau bersabda antara maksudnya: ’ Kalau tidak ditulis Rasulullah pun, aku tetap seorang Rasul!’

Kembali kepada kisah saya bersama-sama teman lama saya tu, pengajarannya…kita tidak boleh memandang rendah pada seseorang. Walaupun bila kita ternampak seorang yang fasik, banyak buat dosa , minum arak dan sebagainya, kita tidak boleh kutuk mereka sebenarnya..apa yang perlu kita lakukan ialah doakan mereka diberi hidayah dan cegahlah kemungkaran dengan sedaya yang kita ada walaupun dengan hati (rasa benci pada perbuatan mereka bukan orangnya)

Kita juga tidak boleh mendabik dada jika kita baik, pandai atau alim dan banyak buat ibadah. Kita tak pasti penghujung hayat kita bagaimana? Masih baik ke atau jahat.

Berapa ramai kita lihat artis atau penghibur yang dulu-dulu terkinja-kinja, tetapi lepas tu jadi pendakwah atau terus hilangkan diri dari dunia hiburan. Kita lihat sahaja Yusuf Islam dan yang paling dekat dalam dunia melayu ialah saudara Azmil Mustapha.

Semoga Allah kekalkan kita menjadi orang yang beriman sehingga hari Kiamat dan tergolong di kalangan orang-orang yang bakal mendapat syafaat pada hari akhirat kelak. Begitu juga dengan saudara-saudara seislam kita yang masih leka, semoga Allah campakkan Nur di dada dan hati mereka seterusnya disinari hidayah dan menjadi seorang mukmin yang hakiki.

free hit counter