Archive for July, 2008

Alah Emak, Kahwinkan Aku!

Baru-baru ini saya menerima panggilan telefon daripada kenalan lama saya. Beliau rupanya ingin bertanyakan beberapa soalan tentang pernikahan. Tak sangka akhirnya beliau bertemu juga jodoh pilihan hati. Kawan saya ni orangnya agak berumur juga.  

Banyak juga soalan yang nak ditanya, maklumlah orang semangat nak kahwin.. I.Allah, jika tiada aral melintang saya sendiri yang akan menikahkannya nanti.

Antara soalan yang ditanya ialah tentang prosedur nikah, boleh tak pernikahan beliau nanti tanpa hantaran, yakni hanya ada mas kahwin sahaja. Saya tanya kenapa? Beliau jawab, sebab bakal isterinya berhajat demikian. Saya jelaskan sebenarnya tak mengapa tiada hantaran, tapi biasanya adakanlah walau tak seberapa, biasanya jika hantaran pasangan tersebut dalam jumlah yang kecil, saya tidak akan sebutkan untuk tidak memalukan pasangan kecuali jika diminta.

Saya nasihatkan beliau agar berikanlah hantaran pada isteri walaupun sedikit lebih2 lagi saya rasa beliau mempunyai kemampuan. Ini penting bagi menjaga nama baik kita. Mungkin ada orang tanya, alah..buat apa nak kisah mulut orang? Yang nak kahwin kita bukan dia! Tapi kena ingat, kita bila bernikah maknanya kita sudah menjadi sebahagian daripada keluarga isteri kita. Memang niat isteri kita baik, tapi pandangan yang sama belum tentu diterima oleh saudara mara iusteri kita. Jadi, ada baiknya kita perlu tunjukkan first impression pada keluarga isteri. Kalau tidak banyak suara sumbang yang akan kedengaran.

Perkara ini juga dititik beratkan dalam Islam. Imam Ghazali sebagai contoh, menggalakkan seorang yang kaya berbelanja mengikut apa yang dia mampu dengan gaya hidupnya semata-mata untuk elak daripada diumpati sebagai bakhil atau kedekut. Ini kerana menurutnya, menutup mulut manusia daripada mengumpat juga dikira sebagai satu kebajikan.

Soalan kedua yang ditanya pula tentang rumah. Boleh tak tinggal rumah isteri? Rupanya bakal isteri sudah ada rumah. Jadi bakal isterinya cadang supaya duduk rumah sedia ada dan tak perlu cari rumah baru.

Saya beritahu beliau, dalam Islam kita berkewajipan menyediakan rumah untuk isteri kita, tidak kiralah bagaimana berkemampuan sekalipun isteri kita. Selain dari itu, bagus juga sebagai menaikkan self esteem suami. Selepas berbincang dengannya, saya mencadangkan beberapa pilihan:

1. Kongsi bayar rumah sekarang, jika mereka buat keputusan tidak ingin membeli rumah baru.

2. Tidak perlu dijual rumah isteri, tetapi suami beli rumah yang baru.

3. Jual rumah isteri (flat 3 bilik), pulangkan wang isteri daripada penjualan tersebut. Seterusnya beli rumah yang lebih besar secara bersama (jika perlu).

Bagi saya pilihan terbaik ialah pilihan no 3. Ini semua sebagai insuran untuk pihak suami sebenarnya, dalam keadaan damai memang tak mengapa, tapi takut bila berlaku pertengkaran, isu2 sebegini akan mudah dibangkitkan dan pastinya boleh melukakan hati suami dan membuatkan ego suami jatuh. Pastinya mengundang kepada perbalahan dan pertengkaran yang hangat.

Malah berdasarkan kes-kes cerai yang saya kendalikan, bila pasangan suami isteri berbalah segala kelemahan suami isteri akan didedahkan. Ini termasuk si suami tidak memberikan nafkah secukupnya, walaupun sebenarnya dari awal pasangan tersebut sudah bersedia untuk saling berkongsi perbelanjaan dari segala hal seperti wang rumah, wang pasar, bil dan sebagainya.

Alhamdulillah, beliau menerima nasihat saya. Semoga Allah memudahkan segala urusan beliau dan segala apa yang dirancangkan bakal menjadi kejayaan hendaknya, Amiin!

 

Featured blogger – Abah Yasir!

Posted in Feutured Blogger, Friends, News at June 12th, 2008 / No Comments » 

Our featured blogger this week is none other than the smiley Ustaz Yusri Yubhi! Don’t be surprised if you find him familiar & can’t remember where you might have seen him. You were probably present when he was performing his duties as a Kadi for your relatives or friends heh heh.

The Executive Imam of Masjid al-Falah is young & highly approachable. His writing style is easy to comprehend, straight to the point, and to the heart & mind too. Much can be learnt from visiting his blog where he details his experiences at work as a Kadi, an educator & as a counsellor. Yes, you read that right. His wide range of experience & learning & especially his niche as a counsellor has made him more approachable & welcoming.His posts are comforting, funny & yet are filled with valuable lessons.

He also peppers them with pictures to make it more visually attractive & has a tagboard for you to send your greetings. He has also commented on our post on Ayat-ayat Cinta to clarify certain issues & we are greatly thankful to him for his time & expertise! Thank you Ustaz!

Don’t forget to drop by http://abahyasir.com and tell him you’re reading him!

ameera.JPG Written by: AmeeraOccupation: Student

Web/Blog:
http://alfaqeer.wordpress.com/

Artikel ini dipetik daripada www.islamicevents.sg

Fikir-Fikirkanlah…

Hari ahad yang lalu, seperti biasa bagi setiap minggu pertama dan ketiga setiap bulan. Saya dan teman2 dari gang2 asatizah dan associate members ada perlawanan bolasepak persahabatan. Team kami ni dikenali sebagai Nadi Al-Ittihad atau Kelab Al-Ittihad. 

Jadi hari tu kita lawan dengan team daripada salah sebuah masjid di bahagian barat Singapura (for the record, kita menang 3-2). Apa yang menarik pada saya ketika perlawanan ini berlangsung ialah kelibat 3 pemain bukan Islam yang berbangsa cina, saya pasti mereka bukan Islam, sebab mereka dipanggil dengan Eric, lagi 2 pemain pun mempunyai nama kristian, cuma saya tidak ingat nama mereka.

Mungkin satu perkara biasa bagi sesetengah orang, tapi ia sebenarnya buat saya terfikir sama ada langkah tersebut merupakan satu langkah bijak bagi kita umat Islam menjemput mereka mewakili team masjid kita. Ya, social harmony alasan bagi sesetengah orang. Tapi adakah kita bersedia jika pihak gereja atau kuil mempunyai pemain Melayu-Islam? Adakah kita akan berdiam diri. Jika perkara ini dibangkitkan di ruangan forum Berita Harian, pastinya ia akan menimbulkan tengkarah besar!

Sebenarnya perkara ini bukan suatu perkara yang baru, di saluran Suria sebagai contoh pada tayangan istimewa drama hari Raya tahun lepas tidak silap saya, pernah menayangkan drama tentang seorang wanita Muallaf Cina (pelakonnya seorang model berbangsa serani) berkahwin dengan seorang Melayu-Islam, malah jika di saluran Malaysia seperti TV3 atau RTM 1 ia merupakan satu perkara biasa. adegan seorang Cina muallaf.

Apakah reaksi kita jika ia berlaku jika TV 5 atau TV8 Mediacorp menayangkan watak Melayu yang murtad? Bersediakah kita menerimanya? Orang bukan Islam boleh memberi alasan, kenapa pula tidak? Mereka boleh berhujjah, kita (orang Islam) yang memulakannya dahulu. Kalau kita tidak boleh, maknanya kita bersikap double standard dalam hal ini.

Bagi saya, langkah selamat jika kita tidak bersedia. Maka janganlah kita mulakan sunnah ini. Jika kita telah mulakan seperti apa yang dilakukan oleh team Masjid yang saya sebutkan tadi. Maka ada baiknya kita merenung kesan tindakan kita pada jangka masa panjang pada masyarakat Islam. Jadi, fikir-fikirkanlah…

Pertemuan Dengan Seorang ‘Rabbi’ Muda Yahudi

  

 

 

 

 

 

 

 

Tadi petang saya mendapat kunjungan tetamu yang tidak saya duga sama sekali. Saya menerima pelawat seorang yang berbangsa Yahudi.

Sebenarnya ketika beliau datang ke pejabat saya tadi, saya sebenarnya dalam keadaan sibuk juga dengan urusan administrasi masjid, namun peluang untuk berdiskusi dengan seorang Yahudi yang ortodok adalah satu peluang yang tidak patut saya lepaskan sama sekali.

Ketika beliau mengunjungi ke masjid tadi, saya ingatkan dia orang Arab yang inginkan bantuan. Tetapi lepas amati wajahnya, nampak lain macam je..dengan songkok kecil yang melekat di tengah kepala dengan rambut terkeluar di bahagian depan. Tidak silap lagi beliau bukan orang Arab, tetapi seorang yang berbangsa Yahudi!

Beliau jumpa dengan saya sambil bertanya jika dia boleh dapatkan informasi tentang masjid ini dan juga agama Islam dari seseorang? Saya pun jawab dengan yakin, ‘Yes..I’m the Imam of this Mosque’ Haha..macam betul je..

Maka dari situ bermulalah perbualan kami yang mengambil masa yang panjang juga yang bermula dengan informasi tentang masjid dan masyarakat Islam di Singapura selain ajaran agama Islam secara ringkas, kemudian beralih pula pada dirinya dan agama Judaism yang dianutinya, rasanya adalah dalam 20 minit kami berdiskusi.

Dari situ saya mengenali yang namanya ialah Chaim Emanuel, berusia baru 20 tahun. Berasal dari Chicago, Amerika. Datang ke Singapura dengan tujuan untuk menjadi ‘Rabbi’. Sudah hampir setahun di Singapura. Beliau sekarang hampir tamat pengajian di Magain Aboth Synagogue (lihat gambar di bawah) di Waterloo Street dan akan pulang ke US dalam seminggu dua ini.


Menurut kajian ringkas saya, Maghain Aboth Synagogue dibina pada tahun 1878, dengan synagogue pertama dibina pada tahun 1841 di Synagogue Street. (sebagai rekod masjid pertama dibina ialah Masjid Omar Kg Melaka pada tahun 1820)

Mungkin untuk memudahkan pembaca, saya catitkan beberapa informasi menarik tentang beliau dan fahaman agama Judaism yang dianutinya:

1. Menggelarkan diri beliau dan 5 temannya yang lain dari Amerika yang bersama-sama belajar dengan beliau sebagai ‘Yeshiva Boys’.

Yeshiva dalam Wikipedia disebutkan sebagai: also frequently referred to as a Talmudical Academy, Rabbinical Academy or Rabbinical School is an institution unique to classical Judaism for Torah study, the study of Talmud, Rabbinic literature and responsa.

The term “yeshiva” is also used sometimes as a generic name for any school that teaches Torah, Mishnah and Talmud, to any age group. Netters boleh search di Youtube dengan perkataan ‘Yeshiva’ untuk video pelajar-pelajar Yeshiva ini.

2. Setiap dari mereka boleh memilih mana-mana destinasi synagogue di dunia untuk tujuan attachment sebagai Rabbi. Jangkamasa attachment ini pula selama setahun.

3. Untuk menjadi seorang Rabbi, seseorang itu perlulaj berkahwin tertebih dahulu. Ini menurut pandangan mereka ialah untuk elak daripada ‘distracted.’ 

4. Beliau merupakan penganut Judaism daripada sect ‘Chassidic’. Beliau menyokong pendudukan Israel di Palestine kerana agama Yahudi percaya bahawa Palestine milik orang Yahudi. Tetapi tidak menyokong sebarang tindakan kekerasan atau pembunuhan.

Namun beranggapan dalam keadaan peperangan perkara tersebut tidak dapat dielakkan.

5. Terdapat sect dalam fahaman Chassidic yang tidak menyokong kerajaan Israel kerana beranggapan mereka sekular, malah menyokong perjuangan bangsa Palestine dalam mendapatkan tanah air mereka!

Perkara ini saya pernah mendengar daripada Ustaz Nazirudin, beliau memberitahu semasa di UK, terdapat orang2 Yahudi yang kecewa dengan tindakan segelintir Muslim di UK yang mencemuh dan mendoakan kebinasaan seluruh bangsa Yahudi walaupun tidak kesemua bangsa Yahudi menyokong tindakan kerajaan Israel.

Sebab itu di Singapura, kebanyakan khatib2 tidak mendoakan kebinasaan orang Yahudi secara umum lebih2 lagi kita negara berbilang bangsa. Bayangkan, kalau kita pergi kuil dorang atau bagsa lain kita dengar teman atau rakan sewarnegara dengan kita mendoakan kebinasaan umat Islam? Pasti kita marah kan? Inilah respon saya bila ada jemaah yang betanya tentang perkara ini.

Tetapi ini bukan bermakna kita menyokong orang Yahudi, tindakan kejam mereka adalah satu jenayah yang perlu kita kecam, manakala bagi mereka yang tidak beriman. Kita tahu apa balasan yang bakal mereka terima.

6. Mereka tidak dilarang dalam agama menjejakakan kaki ke gereja tetapi dibolehkan ke masjid. Ini kerana mereka berpendapat masih terdapat kesamaan dalam agama Islam dengan Judaism.

7. Si Chaim ni dan mazhab yang dia anuti percaya bahawa Palestine termasuk Jerusalem atau Baitul Maqdis adalah milik mereka. Mereka juga percaya bahawa langkah kerajaan Israel menghalau rakyat Palestine dari tanah air mereka adalah tepat. Cuma mereka tidak bersetuju dengan tindakan ganas askar Israel yang menyiksa dan membunuh rakyat Palestine.  

8. Mereka tidak boleh keluar pada hari Sabtu kecuali kerana bekerja atau mencari rezeki. Ini kerana saya menjemput beliau ke masjid pada hari sabtu untuk menghadiri Tea Talk di Al-Falah, tetapi beliau terpaksa menolak.

Amalan ini menurut pandangan yang asal, pada zaman Nabi Musa umat Yahudi langsung tidak dibenarkan melakukan apa jua perkara pada hari sabtu kecuali beribadah kepada Allah. Kalau hari2 lain mereka bebas melakukan apa jua perkara. Tidak beribadah langsung pun tidak mengapa. Ingat tak peristiwa helah bangsa Yahudi pad aAllah untuk pancing ikan pada hari Sabtu? Mereka pasang jerat untuk ikan pada hari Jumaat, dan collect hasil tangkapan mereka pada hari Ahad. : ) Allah kutuk perbuatan mereka ni.

Amalan ini sebenarnya telah dihapuskan dalam syariat yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w, kita hanya diwajibkan solat lima waktu sehari semalam pada setiap hari, tapi pada masa yang sama kita bebas melakukan aktiviti lain yang tidak bercanggah dengan Islam, dalam Islam segala perkara yang baik adalah halal, hanya perkara yang merosakkan dan memudaratkan diri sahaja haram dilakukan sahaja.

Bayangkan pada zaman Nabi Musa, nak taubat kena bunuh diri, syariat Nabi kita Muhammad hanya perlu taubat nasuha sahajakan? Sebab tu Nabi kita, ‘ Sesungguhnya agama (Islam) adalah mudah’

9. Fahaman Kabbalah yang dianuti oleh segelintir pelakon Hollywood seperti Madonna, Britney Spears, Paris Hilton etc (boleh dikenali dengan ‘Red string’ di tangan mereka) sebenarnya tiada kena mengena dengan agama sebenarnya. Ia lebih kepada ‘cool factor’ kata Chaim. 

Fahaman Kabbalah sebenarnya seumpama golongan Sufi dalam Islam. Ia dianggap suci di kalangan penganut Judaism. Macam2 yer? Ada2 je bintang2 Hollywood ni.

Ah, itu sahajalah yang saya ingat daripada perbualan bersama dengan Si Chaim ni. Nak kenal lebih lanjut dengan beliau, bolehlah add ‘Chaim Em’ melalui Facebook.

Temanita Berlainan Bangsa Dan Agama

Kes kaunseling yang ingin saya kongsi kali ini, diharapkan bukan sahaja bermanfaat kepada remaja tetapi juga kepada para ibu bapa. 

Latar belakang kes ini ialah tentang pasangan suami isteri yang datang bersama anak lelaki mereka yang berusia 19 tahun bagi mendapatkan khidmat kaunseling. Isu yang dikemukakan ialah hubungan intim anak lelakinya dengan seorang wanita cina. Sebenarnya kes cinta berlainan bangsa ni ada beberapa lagi kes lain yang hampir sama. Cuma saya kongsikan satu kes ini sebagai contoh.

Ibu remaja ini tidak berkenan dengan perhubungan mereka. Dia beranggapan pergaulan dengan wanita cina ini boleh membuatkan anak beliau lebih terdedah dengan pergaulan bebas. Beliau juga tidak berkenan dengan gaya pakaian temanita anaknya ini.

Selain dari itu, beliau juga mengaitkan tingkah laku negatif anaknya seperti pulang lewat malam, merosot dalam pelajaran dan juga merokok kesan daripada pergaulan dengan wanita cina ini.

Hasil daripada perbualan dengan ibu bapa remaja ini, terbongkar satu rahsia yang tidak pernah diketahui si ibu. Iaitu si ayah (sudah lama berhenti rokok) pernah slow talk bersama anak lelakinya dengan kedua-duanya dalam keadaan merokok dengan tujuan untuk menunjukkan si ayah faham anaknya..tetapi perbuatan ini menyebabkan si ibu berasa sangat kecewa dengan tindakan si suami. Beliau memang seorang yang tidak suka dan anti kepada perokok.

Ada beberapa perkara yang dibincangkan dan diharapkan kedua ibu bapa serta remaja tersebut dapat mengimplementasikannya.

Untuk kedua ibu bapa:

1. Mempunyai prinsip yang sama dalam menyemai nilai murni.

Maknanya, kedua ibu perlu bersatu padu dalam apa jua hal bagi usaha pentarbiyahan anak. Ini bagi memastikan anak tidak keliru dengan apa yang bakal disampaikan. Dalam hal ini, usaha si ayah hisap rokok adalah satu kesilapan yang perlu dielakkan dalam apa jua keadaan (at all cost).

Si ibu melarang anak merokok, si ayah pula merokok bersama-sama dengan anak walaupun ayah mempunyai niat yang baik. Ini akan membuatkan kegenjotan pada usaha si ibu memastikan si anak tidak merokok.

Sepatutnya kedua2 nya perlu mempunyai aspirasi yang sama dalam menyemai nilai positif, ini akan membuatkan si anak jelas dengan apa yang diinginkan dan dibenci oleh kedua ibu bapanya. Ini penting selain dari sokongan dan galakan.

2. Bersikap objektif.

Si ibu perlu bersikap objektif dalam menegur anak. Maksudnya, dalam isu temanita anaknya ini. Komen seperti ‘Mak tak suka kau kawan dengan pompuan cina tu!’ Ini tidak objektif. Anak akan menjawab, ‘kenapa tak boleh?, abis pompuan melayu baik sangat ke?’

Betul juga kan? Perempuan bertudung sekarang pun bukan main lagi pakaian, seluar ketat, baju ketat..ada pula yang berpeluk-pelukan dengan teman lelaki mereka di khalayak ramai, yang merokok pun ada!

Jadi persoalannya bukan temanita cina yang perlu dibangkitkan. Kita perlu objektif. Apa dia yang objektif dalam isu ni? Perkara objektif di sini ialah pergaulan bebas, batasan lelaki perempuan. Juga risiko melakukan seks jika hubungan tidak lagi terkawal.

Jadi tak kiralah, mata air cina ke, melayu ke, mat salleh ke. Yang penting jaga batasan sehingga tidak terlalu bebas dalam pergaulan. Dengan ini, anak-anak akan jelas dengan apa yang kita inginkan dan tidak rasa ibu bapa bersikap prejudis terhadap temanita mereka.

3. Mempunyai sikap pro aktif. (Acknowledge & Praise)

Semasa sesi dengan si anak, baru dapat tahu yang anak secara senyap2 cuba kurangkan tabiat hisap rokok. Dari sekotak dalam masa sehari dua kepada 10 putung rokok dalam beberapa hari.

Sepatutnya kedua bapa perlu bersikap pro aktif, bertanya dan ambil tahu. Perlu acknowledge usaha si anak dan berikan pujian serta galakan agar si anak dapat terus hilangkan tabiat merokok beliau tu. Mujur si anak mempunyai mempunyai daya usaha tinggi untuk terus berubah. Bayangkan jika berlaku pada remaja yang kurang kuat daya semangat, pasti akan merasa hampa dan silap2 terbantut usaha untuk henti tabiat merokok.

Untuk Si Anak:

Saya tekankan pada si anak, walau apa jua keadaan kita perlu hormati ibu dan bapa. Biasanya kita akan sentuh dan bincang peranan ibu dan bapa. Jasa mereka dan sebagainya.

Saya jelaskan, jika ibu atau bapa salah, maka dia tetap salah. Namun sebagai anak..macam mana pun kesilapan mereka, kita tidak punya alasan untuk bersikap kurang ajar. Buat perkara yang dibenci oleh ibu bapa juga sudah dikira derhaka.

Kita juga tidak mampu merubah ibu atau bapa kita atau orang lain sekalipun. Kerana kita tidak punya kuasa kecuali mereka yang ubah diri sendiri. Tetapi kita mampu ubah diri kita jika kita hendak..malah dengan perubahan ini kadang kala akan dapat mengupah persepsi orang lain pada kita.

Jadi, perkara pertama saya jelaskan pada si anak..ialah perlu:

1. Yakinkan si ibu dengan pilihan temanita.

Bagaimana? Saya tanya klien saya ni. Dia kurang pasti. Saya tanya setuju tak kalau awak lakukan perkara berikut, si ibu akan yakin dengan pilihan anda. Apa dia?

2. Pulang awal.
Pulang awal dari biasa. Lakukan dengan konsisten.

3. Hentikan merokok.
Tidak kira sama ada parent acknowledge atau tidak. Teruskan langkah awak untuk berhenti merokok. Tetapkan matlamat hingga akhirnya dapat berhenti secara total.

4. Pakaian temanita.
Kurangkan pakaian menjolok mata, cuma praktis memakai pakaian yang sopan dan bersesuaian dengan adab etika melayu.

5. Jaga batasan pergaulan.
Kurangkan pergaulan atau jumpa dengan temanita seminimum mungkin. Jika berjumpa pastikan perkara berikut dapat dilakukan:

- Pastikan berteman
- Tidak ke tempat2 sunyi dan gelap.
- Pulang awal.
- Jangan sekali-kali pergi ke rumah temanita jika hanya tiada sesiapa di rumah kecuali temanita.

Saya tanya dia lagi, agak2 kalau kalau awak dapat lakukan perkara di atas, ibu akan setuju tak dengan pilihan temanita anda? Dia angguk2 kan kepala tanda setuju. Tetapi kalau dia tidak berjaya melakukan perkara di atas, maka tiada siapa yang perlu dipersalahkan kecuali dia sendiri.

Saya bukan nak galakkan dia bercinta, tetapi cuma ingin jelaskan kepada beliau..boleh berkawan dengan perempuan atau bercinta sekalipun. Tetapi perlu tahu adab dan etika dalam pergaulan antara lelaki dan perempuan dalam Islam.

Sedangkan Lidah Lagi Tergigit…

Kelmarin dan hari ni tak berhenti saya perlu kaunseling. Tu belum campur meeting yang perlu dihadiri. Ah, penat betul..kerja ofis pun tak sempat sangat sentuh tadi. Kesemuanya ada 4 kes, 2 hari ni, 2 semalam. 

Saya ingin kongsi kes saya dengan seorang (namanya S) yang kali terakhir saya jumpa atau kaunseling 4 tahun lepas. Kali ini saya berjumpa dengannya kerana beliau menghadapi masaalah rumahtangga. Beliau berusia lewat 30 an dan sudah lebih 10 tahun bernikah dan mempunyai lebih dari 2 orang anak.

Tapi sejak kebelakangan ini hubungan beliau suami isteri..semakin goyang dan renggang. Isterinya mengadu yang suaminya banyak tumpukan masa pada anak2 hingga isteri kesepian. Anak2 beliau manja dengan bapanya. Nak tidur mesti minta bapa temankan hingga buatkan si bapa sampai tertidur hingga pagi. Jadi si isteri akan tidur sorang, keadaan begini luar biasa pada saya kerana biasa yang berlaku adalah sebaliknya, yakni anak-anak biasa akan cari si ibu untuk tidurkan. Macam kes saya : ) Anak2 saya bila time tidur akan cari mamanya, suruh story dah sebagainya..tambahan pula bila saya pulang kadang2 anak2 dah tidur. Tapi kadang2 angin..’Nak abah story mlm ni!’ Oh oh! tak boleh lari..kena story lah time tu..dah lah tu over..nanti saya suruh dorang komen. Adik Yasir akan cakap. ‘Abah cerita best, mama tak best’ Hmmph, pandai betul kau ampu..! : )

Kembali kepada si S ni, si isteri tak suka macam tu..tapi beliau tak kejut suaminya ni..dia nak suruh suaminya faham. Pompuan memang gitu : ) Dia harapkan kita faham dia. Si suami pula atau lelaki memang blur, kita nak isteri direct pada kita bila nak sesuatu. Hah, nilah psikologi atau personaliti suami isteri yang perlu kita pelajari. Kalau suami, dia nak suruh isteri tidur dengan dia, pasti dia akan kejut, tapi isteri tak kejut kita. Dia nak kita faham sendiri..Inilah yang diberitahu oleh pelakon Mel Gibson apabila ditanya oleh wartawan, adakah beliau faham wanita (sebab beliau pernah lakon dalam filem ‘What Women Want’ memegang watak lelaki yang boleh baca suara hati wanita) beliau jawab, ‘Till now, I still cant understand women (my wife).”

Satu hari beliau pernah marah isterinya, bila si suami baru balik kerja, isteri share cerita pasal adik beradik dia, si suami bentak kerana sibuk cerita pasal orang macam diri sendiri betul sangat. Terus isteri merajuk..Banyak lagi perkara antara mereka berdua hingga melarat ke mahkamah shariah. Beliau tanya saya macam mana Ustaz? Bagaimana cara boleh saya baiki komunikasi saya dengan isteri?

Saya jawab, ‘kadang2 kita perlu buat beberapa perkara yang simple.’ Tapi ia juga bukan mudah, sebab kita jarang buat. Kita perlu praktis untuk jadikan ia suatu habit atau kebiasaan. Seorang pakar pernah kata, untuk jadikan satu habit seorang tu perlu ulang satu perkara yang sama sebanyak 16X!

Antara perkara simple yang saya maksudkan ialah:

1. Belajar mendengar luahan isteri.
Dalam kes ini, isteri beliau perlukan seseorang untuk mendengar luahan hati. Maklumlah, dari pagi sampai mlm jaga anak dan tak tak jumpa suami. Isteri nak suami dia dengar je. Tapi nak dengar tulah yang kadang2 kita susah nak buat. Ada beberapa perkara yang boleh tunjukkan kita mendengar:

- Eye contact
- Hentikan segala perbuatan. eg. stop baca paper.
- Angguk2..atau cakap ‘ya’ atau ‘oh, lepas tu?’
- Para frasa (paraphrase) eg. isteri cakap, saya pergi rumah mak, lepas tu jumpa kak ton, kak nab etc. kita paraphrase. ‘Oh, tadi awak cakap awak pergi rumah mak, jumpa kak ton, kak nab? lepas tu jumpa sape lagi? ‘
- Body posture. Mengadap isteri bila berbual.

Semua perkara ni akan membuatkan si isteri rasa kita mendengar luahan mereka, tulah yang dorang nak.

2. Empathy.
Walaupun rasa penat dan penuh problem serta tension dengan urusan pejabat, suami perlu bersikap empati. Iaitu cuba rasakan perasaan isteri yang kesunyian, sunyi, penat (basuk, lipat, gosok baju, masak, jaga budak etc) dan menunggu penuh harapan kepulangan suami.

Seperkara yang menarik yang beliau share dengan saya, beliau beritahu ketika suasana tgh tegang dan isterinya asyik minta cerai, beliau pernah beritahu isterinya, ‘awaklah satu-satunya wanita dalam hidup saya, tanpa awak hidup saya tak bermakna’ Terus, sejak hari tu isteri beliau mula berubah..Lihat tak impak nya kata2 si suami tadi?

Saya beritahu beliau, tulah yang isteri nak dengar. Tak cukup sayang tapi dia nak kita luahkan. Saya bagi contoh bila isteri masak sedap, tak cukup kita makan bertambah2 nasi atau lauk (walaupun maknanya sedaplah tu sampai bertambah2) tapi bagi isteri ia tidak cukup, mereka akan hampa bila suami tak cakap pape (pujilah maknanya). So suami kena puji atau luahkan.

Satu lagi perkara saya cadangkan pada beliau, supaya dapat timbangkan keluar berdua dengan isteri (mereka tak pernah lakukan sejak dapat anak rupanya), beliau komen, mungkin nanti isteri keberatan..saya kata cubalah..kadang2 kita juga perlu masa untuk berdua..I.Allah, kesan dia mereka akan nampak nanti. Maklumlah, kalau keluar dengan anak, satu nangis, satu mengamuk lapar atau nak tidur, bila makan tumpah air lah, lauklah..ada jer..boleh spoil dan kecoh jadinya (tu pengalaman saya yang baru anak dua) bayangkan kalau client saya yang anak lima ni! Beliau janji akan cuba…

Di akhir sesi, beliau beritahu..Ustaz, masih banyak lagi yang saya belum kenal isteri saya ni…Saya hanya tersenyum. Dalam hati saya bercakap ‘Saya pun’ : )

Tribute…

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah. Dengan berkatnya, setelah 5 tahun bertungkus lumus dan berkorban masa, hari ini dengan rasminya saya telah selesaikan pengajian sarjana (Master) saya daripada Akademi Pengajian Islam (API), Universiti Malaya. Sebagai makluman, tajuk disertasi saya: Kefahaman & Pengamalan Solat Berdasarkan Sunnah Rasulullah: Satu Kajian Di Kalangan Masyarakat Islam Singapura. 

Bayangkan, masa saya daftarkan diri. Isteri saya masa tu mengandung anak pertama, sekarang anak pertama saya dah berusia 5 tahun, anak kedua pula dah 3 tahun. Lama kan? Apa nak buat…itu sahaja yang saya mampu.

Banyak cabaran sebenarnya belajar sambil bekerja ni..bayangkan kita balik malam..Kadang2 bila ada meeting balik pukul 11-12 malam. Lepas tu kena baca buku. Kena type dan sebagainya. Penat, mengantuk jangan cakap lah..gangguan si kecil..aduuh..pernah dorang godeh laptop saya sampai switch off! Padahal masa tu saya belum save lagi..! Itu belum termasuk dah type panjang lebar kemudian lap top hang dan semua data hilang! ooh, macam tak pengsan pun ada…

Ada masa pulak kadang2 switch off 1-2 minggu tak sentuh buku..Pengalaman saya, untuk belajar separuh masa ni, kita perlu kekalkan momentum..kalau penat, kena lawan. 3o minit pun jadilah untuk kita baca atau research..jangan tinggalkan terus..nanti melarat berhari2.

Oleh kerana saya tak mampu hadiri kelas (coursework) dan berhenti kerja untuk belajar sepenuh masa (susah dengan keadaan saya yang dah berkeluarga), maka saya terpaksa memilih disertasi (thesis) penuh tanpa coursework dan lakukan secara separuh masa. Melalui fully dissertation saya perlu tulis sehingga 60,000 perkataan. Selain itu, saya juga perlu banyak berdikari kerana tidak berpeluang mempelajari Research Methodology. Mujur ada kenalan rapat yang sudi berkongsi ilmu selain dari buku-buku bacaan serta contoh tulisan tesis sarjana yang terdahulu dan Guideline atau panduan tesis API, UM.

Rasa macam tak percaya pun ada bila dah selesai.. maklum saya lakukan pengajian ini secara separuh masa. Malah, ketika beberapa teman dan kenalan (bukan rapat) tahu saya lakukan secara separuh masa, ramai yang memandang sinis tidak yakin saya boleh berjaya. Ironinya kebanyakan dari mereka ini sudah punya sarjana! Mungkin mereka bayangkan bahawa sepenuh masa pun susah apatah lagi separuh masa.

Ada pula yang share beberapa kenalan yang mereka kenal, gagal bila buat master cara ini. Aah! boringnya..saya tak minta mereka beri sokongan dan saya tak minta pula mereka momok2 kan atau takut2 kan saya. Tapi tak mengapalah, tak kurang juga teman yang berikan semangat. Paling penting sokongan dari teman rapat dan keluarga. Ia jadi dorongan saya sebenarnya untuk buktikan sesuatu. Kata orang, di mana ada kemahuan..di situ ada jalan. Betul tak?

Apapun, perkongsian ini bukanlah untuk menunjuk-nunjuk, tapi lebih sebagai galakan atau dorongan bagi sesiapa yang ingin lanjutkan pelajaran tanpa perlu berhenti kerja. Ya, memang penat cara ini. Tapi ia bukan satu perkara yang mustahil untuk berjaya. Kalau saya boleh, kenala yang lain tidak?

Sebagai penghargaan atau tribute , saya kongsikan bersama dedikasi yang dinukilkan daripada disertasi (tesis) saya buat teman alam maya sekalian..

 

DEDIKASI

 

Kupersembahkan Dedikasi Ini Khusus Buat:

 

Tuhan Yang Maha Esa,

Pada-Mu Sentiasaku Panjatkan Pertolongan

Agarku Sentiasa Diberikan Kekuatan

Mengharungi Segala Onak Ranjau Dan Ujian

Mami & Papa,

Doa Restumu Berdua Menjadi Dorongan

Kata-Kata Nasihatmu Menjadi Berkat Kejayaan

Isteriku Tercinta, Afah…

Kehadiranmu Di Sisiku Menjadi Satu Kekuatan Tambahan

Kata-Kata Pembakar Semangatmu Buatku Terus Bertahan

Hingga Akhirnya Ku Perolehi Kejayaan

Putera-Puteriku,

Maafkan Abah, Jika Ada Masanya Daku Meninggalkanmu Bermain Sendirian

Namun Gelak Tawa Riangmu Menjadi Ketenangan Fikiran

Semoga Kejayaan Ini Menjadi Dorongan Buatmu Berdua Di Hari Kemudian.

Guru-Guruku

Terima Kasih Di Atas Tunjuk Ajar Kalian

Tanpa Bimbinganmu, Tidak Mungkinku Meniti Kejayaan

Teman Seperjuangan

Terima Kasihku Ucapkan

Atas Segala Dorongan Dan Bantuan

Hanya Tuhan Yang Dapat Berikan Ganjaran

Lawatan Ke US (Bahagian Ketujuh-Bahagian Penghabisan)

Sambungan…

Berbeza dengan pengalaman di bandar-bandar sebelum ini, selain daripada berpeluang berkongsi pengalaman, kami berkesempatan merasakan pengalaman menjalankan kerja sukarela di Cherry Street Food Bank, salah sebuah badan sukarela yang dikendalikan oleh Pertubuhan Northwest Harvest yang menguruskan pengagihan makanan percuma kepada golongan fakir miskin di Seattle.

Di Cherry Street Food Bank mereka menerima di antara 1,200 hingga 1,700 penerima bantuan pada setiap Isnin dan Rabu. Menurut Puan Jeri Chonle penyelaras sukarelawan di sini, mereka cuba memastikan pengunjung menerima bantuan semudah mungkin tanpa berasa tidak selesa atau segan. Setiap penerima hanya akan diminta memberikan nama dan maklumat yang asas bagi diri masing-masing bagi memudahkan urusan pemberian bantuan.

Di sini kami berpeluang melakukan kerja sukareladengan membungkus ’snek’ ke dalam plastik untuk diedarkan kepada golongan yang memerlukan. Sungguh menakjubkan apabila melihat bersama-sama dengan kami terdapat seorang sukarela yang lanjut usia dalam pertengahan umur 60 an yang sudah sedikit bongkok serta tidak mampu berjalan dengan baik dan seorang wanita yang mempunyai IQ yang rendah tetapi masih tetap juga bersemangat melakukan kerja sukarela.

Selain dari membungkus snek di dalam gudang, saya juga berpeluang bersama dua teman lelaki yang lain membahagikan barangan kering kepada penerima bantuan. Dengan cuaca sedingin 5C, kami terpaksa menahan kesejukan tangan kerana terpaksa menggunakan sarung tangan plastik sahaja bagi menggantikan sarung tangan biasa untuk tujuan mengagihkan barangan pasar seperti bawang ke dalam plastik sebelum membahagikannya bersama buah-buahan, makanan dalam tin, beras, roti dan juga minuman mineral kepada golongan yang memerlukan.


Kami dapat melihat sendiri bagaimana orang ramai dari pelbagai latar belakang, baik tua mahupun muda, sama ada bangsa Cina, Afrika-Amerika mahupun mereka yang berbangsa Eropah beratur panjang untuk menerima bantuan. Kami difahamkan mereka ini daripada golongan yang tidak mempunyai pekerjaan, pekerja bergaji rendah ataupun mangsa keganasan domestik.
Terdapat juga dari kalangan mereka yang tidak mahukan barangan kering atas alasan tidak dapat memasak. Tidak sangka dalam kepesatan dan keindahan bandar Seattle ini masih lagi terdapat penduduk daripada kalangan yang tidak mempunyai kediaman dan tinggal di jalanan.


Semasa di bandar Seattle, kami juga berpeluang ke University District atau lebih dikenali sebagai U District. Dinamakan sedemikian kerana kampus utama University of Washington terletak di sini, iaitu bandar kediaman bagi penuntut dan juga tenaga kerja University of Washington.


Terdapat pub, perpustakaan utama, pasaraya dan juga cafe yang berselerakkan lengkap dengan wifi bagi kemudahan penuntut. Terbayang pula rancangan kerajaan Singapura yang ingin membina bandar Universiti Kebangsaan Singapura atau NUS University Town yang akan siap pada tahun 2010 yang juga akan menempatkan para pelajar, penyelidik dan juga pensyarah yang saya rasa berkemungkinan besar juga diambil daripada model atau konsep bandar universiti-universiti di Amerika.

Kami juga sempat melawat Seattle Youth Garden Works, pertubuhan yang menjalankan kerja2 belia melalui pendekatan berteraskan ‘taman atau kebun’ di mana para belia akan berkebun dan bercucuk tanam sambil menambahkan pendapatan mereka. Ada antara mereka ini merupakan pesalah muda yang dihantar ke sini bagi menjalani pemulihan. Di sini mereka akan dididik dan diajar cara2 menanam dan menjaga pokok2 dan perlbagai jenis tanaman. Projek mereka ini mendapat sokongan daripada Washington University (WU).

Antara pengalaman yang tidak dapat saya lupakan di sini ialah mereka home visit, di mana saya berkesempatan singgah dan menikmati hidangan jamuan malam di rumah warga negara Amerika. Kami semua dipecah2kan menjadi beberapa kumpulan dan ditetapkan tuan2 rumah masing2.

Tuan rumah bertuah yang menerima kunjungan kami ialah Cik Elizabeth Younger. Beliau sendiri yang mengambil kami daripada hotel penginapan. Bagi lawatan ini kami sekumpulan bersepakat untuk bergaya dengan baju kurung melayu, lagipun pada masa tu masih raya lagikan?

Selepas hampir setengah jam perjalanan tibalah kami di rumahnya yang terletak bersebelahan dengan tasik besar yang memisahkan antara tanah besar Seattle dengan Mercer Island. Fuuh! cantik betul dan nyaman. Sayang, setibanya kami di sama sudah gelap. Tuan rumah kami ni sungguh mesra dan asyik ketawa sahaja, sudah punyai 3 orang cucu tapi masih nampak muda dan ceria, sesuai dengan namanya ‘Younger’.

 

Beliau sebenarnya sering menerima tetamu dari luar bagi program pelawat antarangsa seumpama ini. Sempat beliau menunjukkan barang2 perhiasan rekaannya sendiri yang dibuat daripada batu2 kecil dan diiport ke merata tempat. Hasil niaganya ini telah membawa beliau ke seluruh pelusuk dunia. Power kan? Pada jamuan malam di rumahnya, saya terpaksa makan ‘Asparagus’. Erk..seumur hidup memang saya tak pernah sentuh, tapi apa nak buat..nak sedapkan hati tuan rumah..sental jelah.

Setelah genap 3 hari di Seattle, maka tibalah masa untuk kami berangkat pulang. Banyak sekali perkara yang dapat kami pelajari sepanjang masa kami berada di sini termasuk berkenalan dengan saudara se-Islam di Amerika yang sungguh progresif dan berdiri sama tinggi dengan rakyat Amerika yang lain.

Tak lupa juga saya pada kedua teman atau pegawai dari Amerika iaitu George & Karen yang mengiringi kami sejak dari hari pertama lagi. Jasa dan telatah kalian tidak akan hilang dari ingatan ini, terutamanya gelagat George yang ala watak Monk dalam siri drama ‘Monk’, beliau juga punya darah Arab. Rasa bersalah pula kadang2 bila teringat saya kenakan dia dalam perbualan kami sehingga teman2 yang lain terkekek2 ketawa. Sorry George : )

Hasil dari lawatan ini juga, kami sekumpulan bersepakat untuk terus meneruskan hubungan yang telah terjalin dan menamakan diri kami sebagai Alliance 9 atau Perikatan 9. Alhamdulillah, semangat persaudaraan kami yang terbina di Amerika masih lagi kukuh dan bertahan di Singapura. Semoga dengan pengalaman baru yang diraih ini, kita terus diberikan kekuatan oleh Allah untuk terus bekerja dan mempraktikkan segala amalan terbaik yang boleh diimplikasikan di sini dalam membantu menyusun program preventif dan intervensi baik untuk belia mahupun keluarga.

Sayang Anak Tangan-Tangankan?

Lama rasanya saya tidak update blog kali ni. Maklum bulan Jun, saya bercuti hampir 8 hari ke beberapa tempat menarik di Malaysia, balik pula kerja menimbun. Ini ditambah pula saya diperlukan untuk membuat sedikit pembetulan pada disertasi (thesis) Master saya di UM. Adalah dua minggu lebih masa saya tiap malam dikhususkan untuk perkara ni. Atas sebab inilah sunyi sepi blog ini seketika waktu. 

Apa yang ingin saya kongsikan pengalaman saya kali ini ialah sewaktu sesi kaunseling saya dengan seorang ibu (Puan J). Beliau datang ditemani oleh 2 orang anak lelaki dan perempuan beliau yang berusia 13 & 16 tahun. Tapi kehadiran beliau bukanlah berkaitan dua anak ni, tetapi isu tentang anak lelakinya yang berusia 18 tahun.

Isu yang dikemukakan ialah anaknya suka balik lewat malam sebab lepak dengan kawan, tak minat belajar dan isu BGR.

Menjadi cara saya dalam berikan kaunseling kepada remaja dengan memfokuskan juga kepada ibu bapa selain dari remaja itu sendiri. Dalam hal ini, memandangkan client tidak hadir. Maka saya terpaksa fokus kepada ibunya sahaja.

Saya mendapati ibunya sangat-sangat garang, bayangkan beliau masih lagi merotan anak-anaknya termasuk anak sulung beliau yang berusia 18 tahun! Ini tidak termasuk cara perbulan beliau yang banyak menengking dan kasar. Ini diakui sendiri olehnya. Gaya beliau ini pula katanya bertentangan sekali dengan gaya suaminya. Lembut tuturcara apabila berkomunikasi dengan anak-anak. Berdasarkan pengamatan saya daripada kes-kes sebelum ini, biasanya bapa yang garang dan tidak mesra dengan anak. Tapi kali ini terbalik pula.

Saya juga difahamkan yang suami beliau sudah putus asa dan harapan terhadap anak sulungnya tu dan tidak ingin ambil tahu lagi apa2 perkara berkaitan dengannya. Ini disebabkan kerana anak tetap tidak mahu berubah dan tetap dengan perangai asalnya. Komen saya tentang hal ini pada puan J, ia adalah satu kerugian sekiranya suami beliau mengambil pendekatan ‘dah tak kuasa’. Saya tanya puan J, ‘Kalau cik pun mengambil pendirian macam suaminya, apa akan jadi pada anaknya?’ Pastinya berkemungkinan lebih meruncing lagi.

Ada beberapa perkara yang saya cadangkan untuk beliau ubah dalam pendekatan dengan anaknya:

1. Bercakap dengan lembut.
Iaitu tidak perlu bentak2 atau pekik bila berbual dengan anak. Si ibu sendiri mengaku, anaknya senang bila berbual dengan bapa dan juga Ustazah tempat beliau belajar madrasah di masjid. Bahkan, beliau juga sedar bila beliau cakap lembut anaknya dengar kata. Kenapa tidak teruskan?

2. Hentikan merotan anak.
Saya minta beliau buang segala rotan2 yang ada di rumah. Beliau ada 3 rotan! Pertama sekali saya gesa beliau pertama cuba kejut anak beliau bangun solat tanpa rotan. Mungkin tujuan baik, tapi pernah tak kita terfikir berkesan ke kejut anak bangun subuh dengan cara rotan? Pada saya ia boleh buat anak2 benci pada solat.

Nabi ajar rotan pada usia 10 tahun, 7 tahun sudah perlu diperintah untuk solat. Tapi pentarbiyahan sebenarnya bermula sebelum tu lagi. Tapi usia 18 tahun? Orang dewasa pun susah nak bangun solat subuh, apatah lagi budak2 remaja?

Jadi, saya minta beliau, cuba ubah pendekatan. Kejut anak dengan berlembut. Cakap baik2 dulu, goyang baik2. Jika liat juga, barulah boleh dikeraskan sedikit goyangan dan suara kita, tapi tak perlulah sampai ke peringkat rotan.

3. Pilih masa yang sesuai untuk nasihat anak.
Saya pinta beliau untuk memilih masa yang sesuai bila nak nasihat anaknya. Elakkan ketika sedang beliau tgh marah.

Pastikan juga anak dapat berehat dulu, mandi, makan dan sebagainya. Bila dah fresh, masa tu pun maknya pun dah kurang hot. Kalau anak mengantuk, tunggu sampai esok. Besok baru cakap.

Kenapa saya tekankan perkara ni? Sebabnya, penting bagi kita pastikan message kita clear dan sampai pada diri anak. Tak guna, cakap panjang lebar, meleter macam nak apa. Anak dengar masuk telinga kanan keluar telinga kiri. Kan penat?

4. Sentuhan atau belaian pada anak.
Perkara ni sangat efektif sebenarnya khususnya bila kita berkomunikasi bersama dengan anak. Saya sendiri bila berbual dengan belia di masjid saya, saya akan cuba sentuh atau pegang bahu dorang, tepuk2 dengan perlahan dan sebagainya. Secara tak langsung remaja tu akan rasa dirinya dihargai, mesra dan bonding dengan kita.

Apatah lagi dengan anak! Tapi perkara tu tak berlaku pada si makcik J ni. Beliau tak setuju bila anaknya complain yang dia sayang anak lelaki sulung ni sebagaimana di sayang adik beradik yang lain. Saya tanya, betul ke? Dia kata taklah. Saya tanya lagi, pernah cium anak, usap dan sebagainya? Dia jawab dengan kedua anaknya yang lain, dia ada buat.

Saya cakap, betullah kata dia yang awak kurang sayang pada dia. Saya cuba beliau perbaiki dan latih untuk sentuh anak. Dia kata segan. Saya kata boleh I.Allah..

Saya minta dia, next time..bila nak tegur atau nasihat. Cuba ikut perkara ketiga di atas (pilih masa yang sesuai) cakap baik2 dan diiringi dengan sentuhan, pegang tangan anak sbg contoh. Dan lihat kesannya.. : )

5. Pujian.
Beliau jarang puji anak. Hmmph, ni yang tak best. Cuba bayangkan bila kita belikan hadiah contoh baju pada isteri, suami atau teman. Si penerima hadiah senyap je tak cakap apa2. apa perasaan kita? Begitu juga dengan anak, anak2 perlu dipuji bila mereka buat satu perkara yang menyenangkan ibu bapa sebagaimana mereka juga perlu ditegur atau dimarahi bila melakukan satu kesilapan. Kita perlu balance dalam perkara ni.

I.Allah, jika kita praktiskan tips di atas, anak akan bertambah sayang dan dengar kata kita. Jika tidakpun, hubungan kita akan bertambah mesra dan untuk jangka panjang ia adalah baik untuk hubungan antara anak dan ibu bapa.

free hit counter