Archive for June, 2008

Lawatan Ke US (Bahagian Keenam)

Sambungan…

Ketika dalam pesawat, saya dapat rasakan perbezaan ketara bagi syarikat penerbangan milik syarikat penerbangan Amerika dengan pesawat Singapore Airline (SQ) dari segi pemilihan peramugari mereka..Saya perasan ketika turun naik pesawat mereka ni, pastinya terdapat 4 jenis peramugari. Yang muda dan jelita, muda tetapi tidak jelita dan berbadan besar yakni tidak kurus, juga mereka yang sudah sedikit berusia. Sebenarnya, semasa saya belajar dulu..saya juga pernah ke London daripada Cairo dan menaiki pesawat Balkan Air (milik negara Bulgaria) . Saya juga mendapati perkara yang sama. Seperti tukang masak kata teman saya. Ini mungkin sebab kita sudah streotype dengan peramugari milik SQ.

Saya membuat kesimpulan, ini bukan perkara yang disengajakan. Saya nyatakan pandangan saya ini dengan dengan teman saya yang merupakan ketua delegasi kami iaitu Sazali. Beliau kata memang betul telahan saya. Negara Amerika dan negara Eropah yang lain memang mengamalkan dasar sama rata dan tidak diskriminasi terhadap wanita. Ini bermakna semua wanita tidak kira cantik atau tidak, kurus atau tidak, kesemuanya berpeluang untuk menjadi peramugari. Bayangkan dasar tersebut diaplikasikan pada Singapore Girl!

Di Seattle cuaca kembali dingin, hampir sama dengan cuaca semasa di Boston. Pemandangan di sini adalah cukup indah pada masa ini, dengan berlatar belakangkan teluk serta Pergunungan Rainier yang diseliputi salji di kemuncaknya seperti Gunung Fujiyama di Jepun. Ia jelas kelihatan daripada kapal terbang semasa perjalanan dari Houston.

Hmmph, terfikir pula kalau punya rezeki, ingin pula rasanya di bawa keluarga datang ke sini. Cakap pasal keluarga, alhamdulillah, hotel-hotel penginapan kami di sini kesemuanya punyai kemudahan Wifi, dapat juga digunakan untuk berkomunikasi setiap hari dengan keluarga dan juga teman melalui MSN Messenger.


Bagi mereka yang biasa menonton siri Grey Anatomy atau pernah menyaksikan film Sleepless in
Seattle, pasti dapat membayangkan bandar ini. Ia sungguh pesat membangun dan romantik sekali!

Setibanya kami di Seattle, perkara pertama yang perlu kami lakukan ialah terpaksa menukar sekali lagi waktu kami di sini. Hmmph..kali ketiga saya lakukan semasa di US, kali in ditambah sejam pula bersenpena dengan Daylight Saving Time.

Bandar Seattle dikenali sebagai antara bandar yang mempunyai kadar celik huruf yang tertinggi sekali di Amerika dengan 50% daripada penduduknya yang berusia 25 tahun ke atas mempunyai pendidikan sekurang-kurangnya sarjana muda.

Namun bak kata pepatah Melayu, air yang tenang, jangan disangka tiada buaya. Begitulah halnya dengan bandar Seattle. Dengan latar belakang dan persekitaran yang dikelilingi lautan biru dan keindahan tasik yang menghiasinya, tiada siapa menjangka masalah penyalahgunaan dadah adalah antara kesalahan jenayah utama di kalangan belia di Seattle. Ini ditambah pula dengan kebanyakan pesalah tidak mempunyai tempat tinggal yang sempurna. Taman-taman serta bangunan awam dijadikan tempat teduh mereka.


Selepas berehat selama sehari, keesokan paginya kami berkesempatan bersiar-siar ke Pike Place Market yang terkenal dengan hasil tangkapan laut yang segar dan menjadi tumpuan pelancong di sini. Takjub bila melihatkan hasil tangkapan yang sungguh besar, khususnya ketam raksasanya yang dikenali sebagai Alaskan Giant Crab. Bayangkan kaki ketam Alaska ini sahaja sudah sebesar lengan dan berharga US$22! Kami berkesempatan merasa cebisan ketam yang dijual yang sudahpun direbus terlebih dahulu dan rasanya sungguh manis dan lazat. Ketam raksasa ini sungguh mahal memandangkan proses menangkapnya menghadapi risiko dipukul ombak ganas. Terdapat satu rencana dokumentari yang bertajuk Deadliest Catch oleh Discovery Channel yang mengisahkan proses penangkapan ketam raksasa yang sungguh mencabar lagi bahaya ini.


Selain dari menikmati pemandangan hasil tangkapan laut di sini, kami juga terhibur dengan cara proses jual beli yang dilakukan dengan begitu santai sekali. Si jurujual akan melambungkan ikan yang telah dijual kepada temannya yang kemudiannya akan menyambut serta membungkusnya sambil bernyanyi-nyanyi. Aksi ini menjadi tumpuan ramai pelancong yang terhibur melihat telatah mereka. Malah aksi mereka yang bekerja secara sepasukan dengan cara yang santai, ceria dan produktif ini telah dijadikan inspirasi sebagai satu konsep pengurusan yang dinamakan sebagai FISH Philosophy.

Bayangkan jika apek-apel jual ikan lakukan aksi demikian di pasar-pasar kita di Singapura! Pasti gamat dibuatnya.

Bersambung…

Nantikan bahagian terakhir pada Jumaat depan, kisah aktiviti sukarela kami di pusat pengagihan makanan untuk orang2 miskin, kisah lucu bersama George (pegawai yang ditugaskan bersama kami) dan pengalaman homestay di Seattle!

Ikut Salah, Tak Ikut Pun Salah…

Salam Euro!

Di sana sini sibuk dengan Euro 2008 di Austria/Switzerland. Sebagai fan no 1 England, saya tiada pasukan pilihan kali ini. Biasanya Holland akan menjadi pilihan no 2 saya selepas England. Ntah, saya minat betul dengan Marco Van Basten sejak dulu lagi. Tetapi kali ini pasukan no 1 saya bukan Holland, tetapi Spain. Kenapa? Jawapannya mudah. Ada Torres, Alonso. Reina & Arbeloa. Haha. Fahamkan?

Tetapi posting kali ini bukan pasal bolasepak, itu sebagai intro sahaja. Sebenarnya saya nak share peristiwa perjumpaan saya dengan seorang muslimah bernama H yang berlaku pada hari sabtu lepas. Beliau merupakan bekas aktivis belia di masjid saya bertugas sekarang ni. Sebelum ini beliau ada mengirimkan beberapa email dan sms pada saya bertanyakan tentang orang yang tidak berpegang kepada sebarang mazhab, mereka yang mengaku mengikut Quran dan Sunnah sahaja. Saya tidak akan berbicara bersangkutan hal ini pada posting saya kali ni. (Bagi jawapan saya berkaitan isu ini, sila rujuk laman http://abahyasir.multiply.com)

Sebenarnya soalan beliau ini berkisar tentang keluarga bakal suaminya (juga bekas aktivis belia Masjid Al-Falah). Pokok isu yang menjadi persoalan H ialah pendapat tidak batal wuduk bagi sentuhan antara suami isteri yang menjadi pegangan bakal keluarga suami beliau. Kebetulan juga saya bakal kadi pernikahan mereka, maka pastinya saya perlu berikan perhatian yang lebih serius kepada isu yang ditanyakan ini.

Beliau sebenarnya terkejut kerana bakal suaminya beranggapan bahawa menyentuh isteri adalah tidak batal wuduk. Pendapat ini sebenarnya merupakan pandangan sebahagian ulama yang menyatakan wuduk hanya batal apabila berlaku persetubuhan atau seks antara lelaki dan perempuan.

Respon saya pada beliau, ini isu khilaf ulama. Tiada siapa yang betul atau salah. Isu yang lebih utama ialah kerukunan rumahtangga. Yang penting kita perlu hormati pandangan masing-masing, ini termasuklah dalam isu agama. Tidak perlulah paksa2 supaya ikut pandangan masing2.

Nasihat saya pada beliau, teruskan amalan masing-masing. Maksudnya, jika nanti sudah suami isteri. Jika si suami tersentuh dalam keadaan kedua-dua berwuduk. Maka si isteri ambillah wuduk semula, manakala si suami tidak. Kan senang tak gaduh2? Timbul pula soalan: Abis, sah ke solat kita (suami-isteri)? Kenapa pula tidak? Jika di Mekah, umat Islam yang berjuta-juta serta berbilang mazhab boleh bersolat berjemaah bersama, mengapa tidak kita?

Namun, saya juga menasihatkan beliau agar bakal suaminya dapat meraikan dan menghormati pegangan mazhab isteri dan ahli keluarga isteri. Jika di rumah keluarga mertua, ambillah wuduk bila tersentuh isteri. Jika tidak, ia boleh menimbulkan salah faham keluarga mertua.

Ingat kisah Imam Malik? Beliau pernah meraikan pandangan golongan mereka berpendapat sunnah membaca doa qunut dengan membaca doa tersebut ketika menjadi Imam solat Subuh di kediaman Imam Syafii, padahal beliau tidak pernah qunut sebelumnya. Tindakan tersebut dilakukan tidak lain adalah sebagai penghormatan dan meraikan pandangan Imam Syafii.

Nah, jika seorang ulama besar boleh berbuat demikian mengapa tidak kita? Semoga kita dapat merenung isu dalam posting kali ini dengan satu dialog yang dipetik dari sebuah blogger Indonesia:

Q:”Lho, jadi qunut saat Subuh itu betul?”
A:”Betul, karena dalilnya ada. Qunut itu betul, bagi yg meyakini bahwa qunut subuh itu sunnah.”

Q:”Lantas, yg tidak qunut saat Subuh juga betul?”
A:”Tentu saja betul, karena mereka beranggapan bahwa qunut Subuh tidak sunnah.”

Q:”Lho, kalo begitu, siapa yg salah?”
A:”Yang salah? Yaaa jelas, yg salah adalah yg tidak sholat Subuh. Gitu aja kok repot!”

Lawatan Ke US (Bahagian Kelima)

Sambungan…

Antara persatuan yang menjadi tumpuan kami di sini juga ialah pertubuhan Big Brother Big Sister (BBBS), antara organisasi pembimbing atau mentoring terbesar di Amerika. Hampir setiap negeri di Amerika mempunyai cawangan BBBS.

Kunjungan ke sini begitu membuka mata kami, melihat bagaimana profesionalnya sistem yang dijalankan bagi mentoring, bayangkan mereka mempunyai hampir 40 petugas bagi memastikan semua kegiatan membimbing atau mentoring mereka berjalan dengan lancar. Di sini Pembimbing atau Mentor digelar sebagai Big Brother atau Big Sister manakala klien atau mentee pula dikenali sebagai The Little.

Setiap mentor dipadankan dengan satu klien sahaja, dengan sekurang-kurangnya sejam pertemuan pada setiap minggu di antara mereka dalam tempoh minimum setahun. Terdapat juga sistem mentor sesama rakan sekolah dengan pelajar yang lebih dewasa menjadi mentor kepada pelajar junior. Tujuannya supaya pelajar yang lebih dewasa dapat memberi bimbingan kepada yang lebih muda dengan aktiviti yang dilakukan secara bersama seperti bermain dan melakukan kerja sekolah bersama. Program ini juga diluaskan kepada golongan minoriti Afrika-Amerika dan juga Hispanik dengan Mentor nya juga terdiri daripada bangsa yang sama.

Kami juga dimaklumkan bahawa BBBS mempunyai hubungan yang rapat dengan franchise National Football League (NFL), National Basketball League (NBA) dan juga Major Baseball League (MBL) yang merupakan sukan-sukan utama dan diminati oleh rakyat Amerika termasuk para belia. Kerjasama ini dilakukan dari segi membekalkan tiket-tiket percuma kepada BBBS.

Kami juga sempat berkunjung ke satu kelab belia bernama Youth Advocates, di mana aktiviti break dancing merupakan satu wadah utama mereka dalam menarik para belia. Di sini para belia berpeluang menunjukkan kemahiran masing-masing di samping berpeluang untuk dihantar bertanding dan menunjukkan bakat ke luar negara.

Kami berkesempatan melihat sambil mengambil gambar dan merakamkan video para belia daripada pelbagai latar belakang dan bangsa seperti Hispanik, Afrika-Amerika, Cina dan Eropah (hanya satu sahaja berbangsa Eropah) berkumpul sambil menunjukkan bakat masing-masing sehingga tanpa kami sedari jam di tangan sudah melewati 10 malam!

Di Youth Advocates (YA) mereka mempunyai 12 kakitangan profesional yang bertugas sepenuh masa, menurut Pengarah Eksekutif YA iaitu Charles Rotramel yang berumur dalam lingkungan 40 an, mereka percaya bahawa jalinan hubungan yang baik antara belia dapat mengelakkan daripada terjebak dengan anasir yang kurang sihat. Kami dapat melihat betapa akrab dan rapat Charles dengan para belia, di mana dalam masa beliau sibuk berbicara dengan kami sempat beliau mengangkat tangan kepada setiap belia yang baru tiba di YA.

Ada satu pengamatan yang betul-betul mencuit hati saya. Di Amerika Syarikat, para belia seperti ini, tidak dianggap sebagai beririsiko atau youth at-risk seperti lazimnya di Singapura. Tetapi, mereka dianggap sebagai youth at the brink of success atau belia di ambang kejayaan.

Antara bidang kerja YA ialah mereka menjadi pengantara (advocates) dalam memadankan belia berisiko ini dengan lain-lain badan bantu diri. Selain dari itu mereka akan memastikan setiap remaja ini mempunyai pekerja sosial yang akan membantu mereka kembali ke pangkuan jalan. Selain dari itu, YA juga menguruskan bantuan kewangan daripada badan-badan kebajikan lain bagi para remaja yang menghadapi isu undang-undang dengan mahkamah juvena.

Destinasi berikutnya ialah Seattle yang merupakan bandar terakhir kami di Amerika Syarikat.

Bersambung…

Nantikan pengalaman saya mengunjungi Pike Place Market, aktiviti balingan ikan antara penjual ikan dan pengalaman berjumpa kaki ketam Alaska sebesar lengan!

Nota: Bagi maklumat lebih mendalam berkenaan pertubuhan Big Brothers Bis Sisters & Youth Advocates sila lawati lelaman:

www.bbbs.org
www.youthadvocates.org

Pengalaman Sebagai Naib Kadi

Sabtu lepas aktiviti saya padat dengan tugasan menikahkan pasangan-pasangan, bermula dari pagi dan berakhir pada malam hari. Maklum sekarang ni dah musim cuti sekolah. 

Apa yang menarik pasangan2 yang saya nikahkan baru2 ni terdiri daripada pelbagai latar belakang. Pasangan yang sama2 bujang, duda dan janda, pasangan muda belasan tahun dan juga pasangan yang berpoligami. Warna-warni kan?

Sebagai seorang kadi, saat yang paling best ialah bila kita nikahkan pasangan yang sama-sama bujang, ramai orang, meriah, gembira, seronok. Semua happy dan ghairah. Suntikan keghairahan tersebut akan terjangkit kepada si Kadi macam saya ni : ) Lebih-lebih lagi bila hadirin penuh sampai kadi nak masuk rumah pun susah.

Perkara sebaliknya berlaku, bila si duda bernikah dengan si janda, suasana sepi. Pernah saya nikahkan pasangan, yang hadir hanya pengantin, 2 saksi dan wali serta beberapa orang teman. Rupanya keluarga suami (bujang) tidak berkenan dan merestui pernikahannya dengan isteri (janda).

Di sinilah faktor keberkatan ibu bapa memainkan peranan. Dalam Islam, berbeza dengan pengantin perempuan yang perlukan wali, pernikahan tetap sah dan boleh diteruskan walaupun keluarga suami tak berikan restu. Namun, pernikahan tanpa restu ibu bapa walau pasangan tersebut saling cinta-mencintai adalah suatu perkara yang tidak digalakkan. Ia biasanya tidak kekal lama kerana faktor kurang keberkatan.

Kenapa dan Mengapa? Ia mudah. Pernikahan yang tiada restu (atau terpaksa direstui) ibu bapa, pastinya ibu dan bapa tidak gemar atau berkenan dengan pasangan kita, bila tak gemar..pastinya susah untuk berkomunikasi dan kurang doa daripada ibu bapa dalam sesetengah keadaan. Dalam jangka masa panjang ia bukanlah sesuatu yang sihat.

Dalam keadaan sebegini, penting bagi anak atau menantu cuba memperbaiki keadaan dan mengambil hati ibu bapa agar lama kelamaan ia mendapat restu dan rumahtangga mendapat keberkatan.

Antara pasangan yang saya nikahkan baru2 ni, pasangan belasan tahun. Yang perempuan baru sahaja 16 tahun, yang si suami umur 20 tahun. Memandangkan ia merupakan pasangan muda maka saya terpaksa improvise khutbah nikah yang perlu dibacakan untuk disesuaikan dengan usia mereka dan saya selitkan tanggungjawab yang boleh dimainkan kedua ibu bapa bagi membantu rumahtangga anak-anak mereka.

Ini penting kerana kebanyakan ibu bapa pasangan muda, jika berlaku sesuatu perkara khususnya jika ’short gun’, perkara pertama yang difikirkan ingin menutup malu iaitu dengan dikahwinkan anak mereka.

Sebenarnya tidak salah untuk nikahkan anak bagi menuntut malu, namun perancangan jangka pendek dan panjang juga perlu difikirkan. Ini termasuk cabaran2 yang bakal dihadapi oleh anak-anak mereka seperti pendapatan kurang stabil kerana masih dalam perkhidmatan negara, baru bekerja atau dalam keadaan jika mereka mendapat anak pada awal perkahwinan mereka.

Antara perkara yang perlu difikirkan juga (saya sering sentuh perkara ini dalam kursus rumahtangga untuk ibu bapa pasangan bawah usia 21 tahun) ialah plan bertindak secara bersama yang melibatkan anak, menantu dan besan masing2 yang berbentuk dalam sokongan dari segi kewangan dan penjagaan anak.

Isu2 seperti siapa yang perlu menjaga anak jika sang suami pergi bekerja atau NS, siapa yang perlu bantu belikan susu, pampers, jaga anak (jika isteri juga bekerja) perlu difikirkan. Ini penting kerana pasangan muda kurang matang dan pastinya punya kerumitan dari segi kewangan. Ibu bapa tidak boleh tidak perlu membantu.

Bayangkan jika perkara ini dibincangkan dengan teliti termasuk perancangan jangka panjang, contohnya: Anak digalakkan teruskan belajar atau mendalami kursus, mertua yang masih bekerja membantu dari segi kewangan, manakala besan kita yang tidak punyai pekerjaan pula membantu dari segi penjagaan anak. Pastinya pada jangka masa panjang pasangan tersebut dapat berdikari kerana bakal mempunyai pekerjaan yang stabil hasil dari pendidikan yang sempurna.

Selain dari itu, galakan dan bimbingan yang berterusan dari kedua ibu bapa dapat membantu meningkatkan kematangan anak-anak yang berkahwin pada usia muda, ibu bapa juga harus banyak bersabar kerana mereka perlu ingat yang anak-anak muda ini walaupun mungkin sudah dan bakal menjadi ibu atau bapa, pada hakikatnya masih muda dan belum punyai kematangan yang mencukupi.

Namun dengan tunjuk ajar dan sifat tidak putus asa dan doa yang berterusan dari ibu bapa, I.Allah rumah tangga yang dibina pada usia muda ini juga tidak mustahil dapat bertahan sehingga sepanjang hayat.

Nota: Gambar yang disiarkan merupakan gambar hiasan dan tiada kena mengena dengan posting kali ini.

free hit counter