Archive for March, 2008

Fitna The Movie

Umat Islam Singapura dikejutkan kelmarin dengan pelancaran video anti Islam keluaran Geert Wilders, pemimpin salah sebuah parti di negara Belanda. 

Sebelum dikeluarkan semalam di seluruh dunia, saya sudahpun dengan ura-ura ingin diterbitkan sebuah film yang menghina Islam. Jadi taklah terkejut sangat bila dikeluarkan semalam.

Alhamdulillah, kali ini ni nampak suasana tenang tanpa respon emosi daripada umat Islam sebagaimana peristiwa kartun Nabi Muhammad oleh akhbar negara Denmark Jyllen Posten sedikit masa dulu.

Saya sendiri dihubungi oleh pihak Berita Harian kelmarin untuk komen tentang film ini, tetapi hanya diterbitkan sebahagian sahaja. Mungkin terdapat kesamaan dengan respon daripada lain-lain pemimpin agama.

Apa yang saya nyatakan pada pemberita tersebut ialah kita perlu sampaikan respon atau reaksi kita dengan tenang, dengan reaksi sebegini secara tidak langsung bertentangan dengan gambaran yang dipaparkan dalam film tersebut, adapun jika umat Islam menyampaikan tentangan secara emosi dan ganas. Ini bermakna perbuatan kita ini membenarkan gambaran ajaran Islam yang terdapat dalam film itu, dan inilah yang ingin dibuktikan oleh Sang Wilders ini.

Seperkara lagi apa yang diketengahkan oleh beliau adalah satu perkara yang juga boleh diketengahkan oleh agama lain. Umat Islam boleh membuat film tentang keganasan sebahagian orang-orang Yahudi, orang Yahudi boleh membuat film tentang Nazis. Malah keganasan tentera Amerika juga boleh dieksploitasikan dalam sebut film.

Di sinilah pentingnya respon tenang yang perlu ditunjukkan oleh masyarakat Islam Singapura, tidak salah untuk marah tetapi yang paling penting bagaimana cara kita luahkan kemarahan kita. Itulah yang menjadi ukuran kesabaran dan kematangan fikiran seseorang.

Sayang Isteri Tinggal-Tinggalkan, Sayang Anak Buang-Buangkan?

Tempohari di masjid, saya didatangi oleh seorang belia lelaki. Beliau ingin dapatkan kaunseling katanya. Saya tanya ada appointment tak? Sebab seingat saya, pada hari tu saya tiada temujanji kaunseling dengan sesiapa. Tepat seperti jangkaan saya beliau menjawab tidak. 

Oleh kerana tiada appt, saya suruh beliau tunggu sebentar sambil saya selesaikan beberapa tugasan saya. Lepas tu barulah saya dapat mulakan sesi dengan beliau.

Saya sebenarnya terkejut beliau datang seorang diri sahaja, maklumlah, para belia tidak seperti orang dewasa, mereka biasanya tidak datang seorang diri tetapi biasanya dirujuk oleh ibu bapa mereka. Ini kerana para belia biasanya merasakan yang mereka tiada masaalah apa-apa. Tetapi ibu bapa mereka yang berasakan mereka bermasaalah. Sebagai contoh hisap rokok atau ponteng sekolah. Bagi para belia, itu bukan satu masaalah. Ini berbeza dengan tanggapan ibu bapa mereka.

Client (saya gelar sebagai Z) saya ini berusia 19 tahun dan sekarang ini bekerja sambilan. Mempunyai latar belakang agama yang kuat juga. Saya tanya dia, apa yang saya boleh bantu. Beliau menjawab yang dia sudah terlanjur dengan gadis (saya gelar sebagai H) berusia 16 tahun! Sekarang ini pula sudah 5 bulan mengandung. Saya buat cool aje..walaupun sebenarnya terkejut beruk juga dibuatnya. Maklum muka budak ni, muka budak baik-baik.

Sebenarnya kalau nak cerita pasal apa yang dibincangkan pada sesi itu mungkin panjang dan sempat untuk dimuatkan di sini. Tapi apa yang saya ingin share di sini ialah ibu bapa budak perempuan tersebut telah memberi pilihan sama ada anak mereka menggugurkan kandungan atau kekalkan kandungan dan dihalau dari rumah. Budak tersebut mengambil keputusan untuk kekalkan kandungan dan beliau dihalau dari rumah serta tidak diterima sebagai anak mereka lagi.

Tahu anak beliau menumpang di mana sekarang? Di rumah tumpangan remaja perempuan kelolaan badan missionary Kristian. Kesian kan? Sekarang ni saya cuba berhubung dengan pihak Pertapis bagi urusan penghantaran H ke sana. Doakan semoga berjaya.

Keadaan ibu H berbeza dengan satu kes yang pernah saya kendalikan baru-baru ini juga. Seorang remaja wanita berusia 18 tahun (saya gelar sebagai S), lari meninggalkan keluarganya untuk mengikut teman lelaki beliau dan tinggal bersama keluarga lelaki tersebut.

Inilah tren sekarang, temanita atau teman lelaki dianggap seolah-olah seperti anak sendiri sehingga sanggup membelakangkan keluarga sendiri.

Apabila saya berjumpa dengan ibu dan ibu saudara serta bapa saudara S, selain daripada beberapa strategi yang dibincangkan di sini dalam ikhtiar kami untuk memujuk keluarga teman lelaki S memulangkan S ke pangkuan keluarga, saya juga meminta supaya ibu S dan bapanya perlu terus berdoa dan jangan berputus asa.

Alhamdulillah, selang dua minggu kemudian. Sang ibu dan dua ibu saudaranya datang berjumpa saya sekali lagi dan kali ini bersama S. Terkejut juga saya. Tapi terkejut bercampur gembira. Pada masa yang sama juga saya turut berasa sedih kerana S sudah mengandung dua bulan.

Pengajaran dan iktibar yang dapat diambil dari kedua kisah ini ialah, tabiat buang anak yang telah mengandung atau murtad adalah satu perbuatan yang memberi keburukan jangka panjang. Malah boleh memberi kesan pada agama anak tersebut.

Tapi pada masa yang sama, jika seorang ibu atau bapa tersebut bersabar dan tidak berputus asa terhadap anak tersebut. I.Allah, anak tersebut mampu berubah dan menjadi seorang yang lebih matang serta mampu mempelajari dari kesilapan lampau mereka. Siapa tahu pada masa akan datang anak tersebut mampu menjadi seorang anak yang soleh atau solehah dan berbakti kepada kedua orang tua.

Sejenak Bersama Pendeta Dr. Ariff Ahmad

Pada hari sabtu lepas semasa penyampaian Anugerah Mas, saya berkesempatan duduk berbual seketika dengan Hj Ariff Ahmad, seorang budayawan terbilang Singapura yang juga terkenal dan diiktiraf serantau nusantara. 

Sambil menjamu selera, saya sempat bertanyakan berapa umur beliau, beliau menjawab 84 tahun. Saya bertanya lagi, masih lagi aktif membaca, bila terlepas soalan tu rasa menyesal pula saya, seorang yang terkenal sebagai budayawan dan digelar sebagai Pendeta takkan tak membaca, mungkin umurnya membuat saya terlupa sebentar.

Beliau mengingatkan saya yang beliau bukan setakat sering membaca bahkan aktif menulis ruangan pojok beliau di Berita Harian. Baru saya teringat..saya pernah membaca tulisan beliau di BH.

Beliau menjelaskan adalah penting untuk terus membaca atau menulis untuk memastikan otak kita sentiasa aktif dan berfikir.

Ah..terasa kerdil dan kecil pula rasa tiba-tiba, terfikir pulak..aku boleh ke macam dia, masih lagi aktif membaca dan menulis? Mudah-mudahan peristiwa ini menjadi titik tolak untuk kita lebih menghargai kesihatan dan akal yang dikurniakan oleh Allah. Lebih-lebih lagi pada peringkat usia yang masih muda dan mengambil dari Pendeta Dr Ariff sebagai iktibar.

Kaunseling Melalui Telefon

Baru-baru ni ada orang telefon saya di ofis bagi khidmat bantuan kaunseling. Beliau seorang Indian-Muslim, masuk kali ini rasanya dah 2 kali dia call. 

Banyak isu yang dikemukakan, antaranya dia depression sebab ayahnya tidak mahu solat walaupun selepas ditegur, baru putus cinta dengan kekasih dan kenapa orang bukan Islam berjaya walaupun tidak solat?

Letih juga nak jawab soalan-soalan tersebut, maklum beliau hanya boleh berbual dalam bahasa Inggeris sahaja. Saya cuba berbincang dengan beliau satu persatu isu yang dikemukakan.

Soalan pertama tentang dia stress sebab ayahnya tidak mahu solat walau selepas ditegur. Dalam hal ini, saya cuba beri semangat pada beliau yang dia telah telah jalankan tanggungjawab sebagai anak sebaik mungkin, seterusnya terpulang kepada ayahnya untuk berubah atau tidak.

Saya jelaskan padanya, rasa bersalah adalah normal, namun yang menjadi masaalahnya jika beliau berasa bertanggungjawab sepenuhnya atas kesalahan ayahnya. Baginda Rasulullah sendiri pernah ditegur oleh Allah kerana berasa dukacita disebabkan masih ramai orang-orang Quraisy yang musyrikin. Allah menjelaskan tugas Nabi hanya menyampaikan seruan, namun pemberi hidayah adalah Allah jua.

Soalan kedua, mengapa orang Islam yang bersolat, namun tetap juga ditimpa musibah, sedangkan orang bukan Islam atau orang Islam yang tidak solat ramai yang berjaya.

Memandangkan ia adalah perbualan di telefon dan saya pada masa tu masih lagi banyak kerja yang belum dibereskan. Saya cuma sempat bagi contoh baginda Rasulullah. Beliau adalah seorang Rasul dan merupakan manusia yang paling dicintai. Namun baginda tetap juga diuji oleh Allah. Ingat tak peristiwa kematian isteri yang dicintai Khadijah dan juga bapa saudaranya Abu Talib? Kedua-duanya meninggal ketika baginda amat memerlukan sokongan mereka.

Begitu juga dengan kematian putera baginda yang bernama Ibrahim, yang meninggal ketika masih kecil. Bayangkan jika kita mempunyai 4 puteri dan anak kelima kita pula dijangkakan seorang putera, apabila lahir meninggal pula ketika masih kecil. Pasti kita akan merasa amat sedih sekali.

Tetapi kenapa ini semua berlaku pada insan yang disayangi oleh Allah? Ini tidak lain dan tidak bukan ialah Allah ingin memberikan peluang untuk mendapatkan pahala dan kebaikan.

Jadi ia bergantung bagaimana kita melihat sesuatu ujian atau musibah, positif atau negatif. Jika positif maka kita akan ganjaran dan pahala yang cukup besar, lagi besar ujian lagi besar pahalanya, begitu jugalah sebaliknya.

free hit counter